Oleh Rashidi Haris
KETIKA politikus sibuk berkempen PRK di DUN Nenggiri, Gua Musang, sebuah NGO bangkit mempertahankan titah Yang di-Pertuan Agong dan kedaulatan negara dengan membidas kenyataan Pengerusi baharu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Datuk Seri Mohd Hishamudin Md. Yunus yang mahu kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Konvensyen Pelarian 1951.
Alasan diberikan SUHAKAM ialah bagi merangkumi diskriminasi kaum dan pelarian sebelum penggal tiga tahunnya tamat pada Julai 2027.
Beliau seolah-olah terlepas pandang gabungan bersejarah UMNO dan Pas pada 8 Disember 2018, iaitu Himpunan Bantah ICERD.
Ada dua kemungkinan, sama ada beliau benar-benar tidak tahu ada himpunan besar di Dataran Merdeka yang membantah ICERD atau beliau diarah oleh pihak tertentu supaya mengangkat semula isu sensitif yang menyebabkan orang Melayu bangkit bersatu menentang.
Beliau sebelum ini adalah mantan Hakim Mahkamah Rayuan, pernah menimbulkan kontroversi apabila mengisytiharkan tidak sah ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah dan memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak sah di sisi Perlembagaan kerana ia mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi keadaan dikenali masalah identiti gender (GID) dari segi perubatan.
Manakala dalam kes LGBT ini, keputusan mantan hakim itu berlawan dengan naratif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah membuat kenyataan secara langsung dalam program “Naratif Khas bersama Perdana Menteri di Radio Televisyen Malaysia (RTM)” pada 7 Januari 2023, memberi jaminan golongan LGBT, konsep negara sekular dan ideologi komunis tidak mungkin diiktiraf dalam Kerajaan Perpaduan.
Kenyataan Anwar itu menangkis usaha pihak liberal mahu mengangkat golongan songsang ini dan sekali gus menunjukkan pendiriannya terhadap golongan LGBT.
Sebelum itu Hishamuddin Yunus juga pernah membuat kenyataan membangkitkan kemarahan ahli politik apabila meminta kerajaan hari ini memohon maaf secara terbuka atas Operasi Lalang walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak terlibat.
Kenyataan beliau dibalas oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad walaupun mengaku bertanggungjawab atas peristiwa itu sebagai Perdana Menteri, tetap tidak meminta maaf kerana operasi tersebut bukan atas arahannya.
Operasi Lalang atau Ops Lalang dilancarkan pada 27 Oktober 1987 oleh PDRM dan Kementerian Dalam Negeri ialah operasi tangkapan besar-besaran yang dilakukan terhadap ramai ahli politik terutama dari parti DAP dan Pas di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang terkenal dengan Akta ISA.
Seramai 106 hingga 119 ahli politik ditahan dan pembatalan dua akhbar harian berlesen, The Star dan Sin Chew Jit Poh serta dua akhbar mingguan The Sunday Star dan Watan.
Kontroversi ini bermula daripada tindakan kerajaan di bawah arahan Menteri Pendidikan ketika itu yang menghantar guru besar dan guru penolong kanan yang tidak mempunyai kelayakan bahasa Cina ke sekolah-sekolah rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC).
Protes ini seakan sama dengan PIBG daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina (SMC) di Pulau Pinang membantah sekeras-kerasnya terhadap pelaksanaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di satu kelas dalam sesi pembelajaran mereka.
SMJK dan SMC ini menganggap ia bukan polisi utama yang ingin diterapkan oleh sekolah mereka.
Ada juga pihak berpandangan ada gerakan puak liberal yang mengatur perancangan menukar pengerusi terdahulu dengan pengerusi kontroversi Hishamuddin Yunus dalam satu artikel berjudul “Gerakan Liberal Untuk Jatuhkan Pengerusi SUHAKAM”, tulisan Lukman Sheriff dalam FB peribadi beliau bertarikh 17 Jun 2023, mungkin ada kebenarannya.
Mungkin boleh ditambahkan juga tindakan Hishamuddin Yunus secara tidak langsung dari prespektif lain seolah-olah mahu menjatuhkan kerajaan Madani seperti mengesyorkan supaya UMNO dengan Pas bergabung semula dan ini sangat berbahaya kepada matlamat PH terutama dari DAP yang sentiasa akan memastikan parti-parti Melayu-Islam tidak bersatu, kekal berpecah belah.
Ini mengingatkan kita kembali kepada satu kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa bertarikh 7 Desember 2018, pernah menyifatkan tujuan Himpunan Bantah ICERD tidak relevan memandangkan kerajaan tidak meratifikasi ICERD, maka semua kebimbangan tidak terpakai lagi seperti kedudukan Melayu-Islam dan Raja-raja Melayu.
Apapun alasannya, Pengerusi baru SUHAKAM ini gopoh dan jelas telah melanggar titah YDPA Sultan Ibrahim yang juga Sultan Negeri Johor bahawa ratifikasi ICERD dan Statut Rom bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Usaha meneruskan ratifikasi merupakan suatu tindakan derhaka titah Tuanku Sultan Johor dan kerajaan PH patut memecat beliau atau beliau sendiri meletakkan jawatan kerana tidak berfikir terlebih dahulu kesan daripada keceluparannya membuat kenyataan.
Dalam zaman Kerajaan Madani, penyelesaiannya amat mudah, Pengerusi SUHAKAM hanya perlu mengeluarkan kenyataan, “mohon maaf” dan segalanya selesai.
Rakyat akan kembali tenang, tiada kecaman di medsos dan politikus boleh sambung dengan propaganda kempen pilihan raya dan seperti biasa meneruskan janji-janji palsu yang pastinya akan menawan hati pengundi DUN Nenggiri untuk memilih politikus mana paling bijak kelentong.
Penulis Haji Rashidi Haris @ Lebai Kampung adalah Ketua Sekretariat Gabungan Nasionalis
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252