BERITA UTAMA
'Tiada pernikahan di antara Cleopatra dan Bakri Zinin' - Hakim Syarie

‘Tiada pernikahan di antara Cleopatra dan Bakri Zinin’ – Hakim Syarie

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini, mengesahkan tiada pernikahan berlaku di antara pempengaruh media sosial, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin dengan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin.

Hakim Syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat, dalam keputusannya hari ini, memaklumkan kedua-dua pihak iaitu pemohon dan responden mengaku tiada pernikahan berlaku antara mereka, maka mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan mengenai ketulenan sijil nikah dari Thailand itu.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili ahli perniagaan yang lebih dikenali sebagai Cleopatra, 30, selaku pemohon selepas prosiding kes di hadapan Wan Mohd Najib.

Menurut peguam itu, mahkamah memutuskan demikian selepas menilai segala afidavit yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak sebelum ini.

“Memandangkan kedua-dua pihak menafikan pernikahan itu wujud maka mahkamah tiada bidang kuasa untuk ‘entertain’ kerana perkahwinan itu tidak pernah berlaku.

“Hakim tidak menjurus kepada perkara itu (kesahihan sijil pernikahan) dan menyerahkan kepada polis atau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengenai tindakan susulan, hakim hanya fokus kepada pernikahan ini wujud atau tidak selepas kedua-dua pihak memaklumkan tidak pernah ke seberang dan wali anak guam tidak pernah ikut ke sana,” katanya.

Dalam pada itu, peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Mohd Bakri, 70, turut mengesahkan perkara sama bahawa tiada pernikahan berlaku antara mereka berdua.

Menurutnya, memandangkan pemohon dan anak guamnya mengakui tiada pernikahan, maka mahkamah tidak perlu menentukan sama ada perkahwinan mereka sah atau sebaliknya.

“Berdasarkan bidang kuasa perundangan, sekiranya tidak wujud pernikahan, maka mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar permohonan (Nur Fathiah).

“Mahkamah tidak perlu membuat pengesahan pernikahan yang tidak wujud, maka Yang Arif Syarie menolak tuntutan pemohon berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Nur Fathiah ketika ditemui bersyukur dengan keputusan mahkamah itu sekaligus menjernihkan status dirinya yang tidak pernah berkahwin dengan Mohd Bakri serta mahu siasatan dilakukan pihak berkuasa mengenai sijil nikah palsu itu.

“Alhamdulillah…untuk peringkat seterusnya saya sudah membuat laporan polis dan berharap pihak berkaitan akan menyiasat kewujudan sijil nikah palsu itu,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, bekas calon bebas Parlimen Batu, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memfailkan satu permohonan di Mahkamah Rendah Syariah di sini bagi mendapatkan jawapan kesahihan pernikahan dan sijil nikah yang diperolehi.

Sebelum kes dibawa ke mahkamah, kes itu dirujuk ke Jawi dan badan agama itu kemudian mengesahkan sijil nikah berkenaan adalah palsu.

Pada Oktober tahun lalu, Nur Fathiah menyangkal dakwaan melangsungkan perkahwinan dengan Mohd Bakri.

Sebelum itu, Nur Fathiah memuat naik gambar dirinya dan Mohd Bakri di Instagram (IG) di mana mereka menghadiri konsert ‘Senandung Nusantara Ethnochestra oleh Erwin Gutawa dan Jay Subyakto’.

Perkara itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen, malah gambar itu turut menerima banyak ucapan tahniah daripada orang ramai. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *