Menyemak kesan pembohongan di era reformasi terhadap sastera-budaya hari ini

Menyemak kesan pembohongan di era reformasi terhadap sastera-budaya hari ini

Oleh: Dinsman

KITA ada sastera Sebelum Perang, sastera Selepas Perang, sastera Asas 50, sastera Zaman Jepun; dan banyak kajian telah dibuat terhadap sastera di zaman-zaman tersebut. Kajian dari pelbagai aspek.

Kita juga ada Sastera di Era Reformasi atau Sastera di Zaman Reformasi; iaitu sastera yang dikaitkan dengan suatu era atau zaman dalam sejarah Malaysia yang ada hubungannya dengan seorang tokoh bernama Anwar Ibrahim; bermula daripada tarikh dia disingkirkan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998 hinggalah dia dilantik menjadi Perdana Menteri pada 24 November 2023, iaitu selama 25 tahun.

Dari sudut pandangan sastera, apakah makna dan implikasinya era selama 25 tahun itu kepada masyarakat Malaysia, khasnya kepada perkembangan sastera dan budayanya? Sehingga kini belum ada kajian dilakukan terhadap perkara ini.

Bayangkan – 25 tahun telah berlalu, kita ada berapa banyak universiti di negara ini, tak ada seorang pun ahli akademik di bidang sastera dan budaya yang berminat untuk buat kajian mengenai perkara sepenting ini! Manakala institusi bahasa dan sastera kebangsaan yang diamanahkan itu (Dewan Bahasa dan Pustaka – DBP), jangan cakaplah, penyokong Reformasi seperti saya ini pun dianggapnya musuh, dan diharamkan bersama.

Mengapa DBP menganggap orang seperti saya ini musuh dan mengharamkan kami bersama dengannya? (Sebenarnya bukan DBP sahaja tetapi lain-lain institusi kerajaan berkaitan seni, sastera, budaya dan ilmu, juga sama, kecuali satu-dua yang tak demikian).

Sebab kami menyokong Anwar Ibrahim dan menyokong Reformasi. Di hari-hari awal selepas Anwar disingkir pada akhir 1998 itu saya malah dijauhi kawan- kawan dan ditakuti untuk dilihat bersama. Kenapa mereka takut? Mereka khuatir nanti turut dianggap penyokong Anwar, dan akibatnya mungkin ditangkap kerana dianggap menentang kerajaan dan kemungkinan seterusnya akan ditahan atau dipenjarakan.

Jadi, ketakutan itu menyebabkan mereka tak lagi dapat berfikir rasional dan tak sempat lagi mempertimbangkan soal memihak kepada kebenaran atau kepada kezaliman dan kemungkaran.

Anwar dituduh melakukan perbuatan seks di luar tabi’i (liwat) dan berzina dengan beberapa orang wanita. Kerana itu dia dipecat dari jawatan Timbalan PM dan Timbalan Presiden Umno (parti politik yang berkuasa), oleh PM Dr Mahathir, walaupun dia belum dibicarakan dan apatah lagi dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Dan kemudian apabila tuduhan liwat itu dibicarakan di mahkamah, semua kita boleh saksikan sendiri apakah tuduhan itu dibuktikan atau tidak.

Ironisnya, masyarakat penulis dan sastera-budaya-ilmu yang nampak takut untuk mendekati persoalan benar-tidaknya tuduhan terhadap Anwar itu tiba-tiba begitu cepat bertindak hendak menyokong suatu afidavit yang agak pelik sifatnya.

Ia afidavit oleh polis terhadap seorang yang dikatakan kawan-bermain-tenis Anwar, Nallakarupan, yang menghadapi tuduhan memiliki senjata api dan boleh dihukum mati.

Isunya berkaitan pemindahan lokap Nallakarupan itu. Tetapi kandungan afidavit itu lebih tertumpu mendedahkan apa yang dikatakan skandal seks Anwar, secara begitu terperinci. Dan afidavit itu disiarkan secara tergesa-gesa dalam akhbar petang The MaIay Mail, sebelum pun ia dibaca di mahkamah.

(Esoknya disiarkanlah akhbar-akhbar lain). Mengapa? Mengapa terjadi begitu? Ia menimbulkan persoalan kepada saya, tetapi tidak kepada rakan-rakan penulis yang menganggotai AJK Pena – badan penulis paling ramai disertai sasterawan-budayawan terkenal di Malaysia itu.

Ada satu implikasi besar (akibat penyiaran afidavit tersebut dalam akhbar) terhadap budaya masyarakat Melayu-Islam di negara ini, yang seharusnya dibincangkan dalam mesyuarat Pena berkenaan, tetapi tidak disentuh pun.

Bahawa ia telah mengubah budaya dan pemikiran masyarakat Melayu-Islam mengenai nilai akhlak, moral dan adab. Beberapa perkara yang sebelumnya di anggap taboo dan tak disebut di khalayak umum, mulai disebut tanpa rasa malu atau janggal atau bersalah lagi selepas itu.

Perkataan liwat dan seks luar tabi’e misalnya sudah menjadi mainan bibir umum termasuk anak remaja, akibat sering terbaca di akhbar dan mendengarnya disebut di televisyen dan radio.

Tindakan pimpinan akhbar-akhbar berkenaan menyiarkannya, sama ada sedar bertanggungjawab atau tidak mengakuinya, mereka tetap bertanggungjawab atas kerosakan akhlak Melayu-Islam yang kini dilihat semakin menjadi-jadi itu.

(Bayangkan kalau editor akhbar-akhbar berkenaan menolak untuk menyiarkannya. Masyarakat kita hari ini mungkin berbeza sikap dan akhlaknya).

Mengapa saya bercakap mengenai surat khabar, penyiaran berita dan peranan editor akhbar, sedangkan subjek perbincangan ialah Sastera Reformasi? Sebabnya, pertama, kerana kaitan antara keduanya sangat rapat dan ketika api Reformasi marak menyala peranan akhbar sangat penting. Ia menjadi alat propaganda paling berpengaruh. Malah ia turut membentuk pemikiran dan sikap masyarakat, bahkan mengolah pandangan dan kepercayaan umum.

Peristiwa Pena memanggil mesyuarat khasnya September 1998 itu misalnya adalah semata-mata merespon terhadap satu siaran berita (afidavit) oleh akhbar. Dan di era Reformasi itu juga Harakah, akhbar utama pihak pembangkang, bersama majalah Tamadun (diterbitkan oleh syarikat yang sama), menyediakan ruangan sastera bagi menampung karya-karya yang menampakkan sokongan kepada Reformasi, terutama cerpen dan puisi, yang tak akan disiarkan oleh majalah dan akhbar lain.

Tidak lengkaplah perbincangan mengenai Sastera Era Reformasi kalau tidak disertai hasil kajian terhadap karya sastera yang pernah terbit di Harakah dan Tamadun.

Mengapa saya mengungkit peristiwa lama yang sudah berlalu 25 tahun itu? Sebenarnya saya tidak mengungkit, dan peristiwa itupun belumlah begitu lama terjadi.

Belum sampai setahun pun lagi masyarakat kita khasnya golongan penulis, sasterawan dan ilmuwan kita mengubah/menukar anutan nilai akhlak dan adab mereka, iaitu selepas 24 November lalu (sahaja), apabila Anwar Ibrahim yang mereka tolak pada September 1998 itu kini mereka sambut dan raikan dia sebagai pemimpin utama mereka.

Ini peristiwa baru. Ertinya saya tidak mengungkit, tetapi saya membicarakan siapakah penulis, sasterawan dan ilmuwan Malaysia kini. Siapakah kita sebenarnya? Dan inilah pentingnya wacana Sastera Era Reformasi 1998-2022 ini diadakan; bagi meneropong diri kita dan juga masyarakat hari ini.

Sebab kedua mengapa saya bercakap mengenai surat khabar ialah kerana pembohongan umum yang dilakukan oleh pihak berkuasa pada awal era Reformasi adalah didokong kuat oleh pihak akhbar, dan juga televisyen. (Saya tak tahu apakah pihak radio juga sama kerana saya tak dengar berita radio).

Dan ini adalah antara ciri utama media terutama surat khabar, di era itu, apabila mereka membuat laporan mengenai peristiwa atau program yang dijalankan oleh pihak-pihak yang mendokong Reformasi.

Sama ada mereka membuat laporan yang sengaja diselewengkan faktanya, atau mereka langsung tidak melaporkannya. Kenyataan ini dibuat berdasarkan pengalaman saya sendiri, dan saya bertanggungjawab terhadapnya.

Sebahagiannya (banyak juga) sempat saya rakamkan dalam puisi  (yang sebahagiannya terkumpul dalam buku “Macam Orang Gila” (2001); dan sebahagian lagi dalam esei-esei saya yang mengisi kolum-kolum di Harakah, mingguan Amanah dan portal The Malaysian Insider. Sebahagiannya (daripada sekitar 500 semuanya) telah saya terbitkan dalam buku “100 Esei Seni dan Sastera Era Reformasi 2008-2011”.

Satu contoh puisi dari buku Macam Orang Gila (MOG) – berjudul “Dosa- dosa Pembohongan” (mula dibacakan kepada khalayak 2 Mei 2001). Para tiganya:

   Tiga puluh dua bulan aku bermenung

   berfikir – apa yang sedang berlaku

   penulis, seniman, wartawan, cendekiawan

   kenapa tiba-tiba tidak mempedulikan

   kezaliman berlaku di depan mata?

Dan di para enam, difokus kepada wartawan:

   Kamu sahabatku

   kamu tahu laporanmu diubah sebelum disiar

   berbulan-bulan bertahun-tahun

   kamu masih merelakannya

   kamu merelakan berjuta rakyat dibohongi

   dan kamu terus berkonspirasi

   membina sebuah tamadun penuh pembohongan

Ini yang saya perhatikan waktu itu – bahawa sahabat-sahabat saya “penulis, seniman, wartawan, cendekiawan” sedang “berkonspirasi membina sebuah tamadun penuh pembohongan”.

Puisi “Dosa-dosa Pembohongan” itu ditulis Mei atau April 2001, ketika api Reformasi sedang marak menyala dan pembohongan pun giat dijalankan, terutama oleh pihak media. Ada beberapa lagi puisi dalam MOG yang merakamkan bukti-bukti pembohongan dilakukan oleh pihak-pihak yang sepatutnya bertanggungjawab menyatakan kebenaran kepada umum/rakyat.

Waktu itu saya belum lagi menulis untuk kolum- kolum yang disebut di atas. Hanya aktif menulis puisi dan membaca puisi, hampir setiap malam. Jadi saya merakamkan peristiwa-peristiwa penting semasa, di dalam puisi. Dan puisi saya tanpa saya sedar waktu itu telah mengambil peranan media yang merakamkan peristiwa-peristiwa sebenar Reformasi, manakala akhbar-akhbar dan televisyen sama ada tidak merakamkannya atau memanipulasi berita-berita berkenaan (dengan pembohongan), dengan tujuan untuk memadamkan gerakan Reformasi.

Dalam satu tulisan di kolum “Tekad Budaya” dalam mingguan Amanah, 27 November 2016, saya tulis begini: “Dalam sejarah Malaysia moden ada satu zaman yang saya kenali dengan Zaman Pembohongan. Itulah zaman di mana para penulis, wartawan, budayawan, seniman dan ilmuwan kita bersekongkol dengan ahli-ahli politik dan para kapitalis di bawah pimpinan Dr Mahathir, membohongi rakyat dengan pelbagai retorik konspirasi, semata-mata untuk melindungi kezaliman dan kejahatan mereka ke atas Anwar Ibrahim – demi membenarkan kepemimpinan Dr Mahathir.”

Memang tiada siapa mempedulikan “kenyataan” dalam puisi saya 2001 itu bahawa para penulis, seniman, wartawan dan ilmuwan/cendekiawan kita “berkonspirasi membina sebuah tamadun penuh pembohongan”, kecuali para penyokong Reformasi waktu itu. Manakala golongan ilmuwan, budayawan dan sasterawan yang menyokong Reformasi pula bilangannya boleh dihitung dengan jari sahaja.

Dan kita faham mengapa demikian jadinya. Maka memahami kesan atau akibat pembohongan berskala besar itu ke atas pemikiran masyarakat kita selama 25 tahun, saya menegaskan hari ini bahawa kita perlu menyemak semula kesan pembohongan tersebut yang terus melekat dalam nilai dan budaya, khasnya akhlak dan adab kehidupan kita hari ini. Maksud saya menyemak dan memperbetulkan semula mana-mana yang telah diselewengkan melalui pembohongan bersiri pihak berkuasa dan agen-agennya itu.

Dalam konteks sastera, budaya dan ilmu, terdapat satu anasir jahat yang bermaharajalela mengawal pergerakan dan aktivitinya, melalui kuasa dan pengaruh mereka selama ini, dikenali sebagai Mafia Sastera. Inilah antara faktor utama yang menghalang kemajuan sastera di Malaysia; juga menghalang DBP melaksanakan fungsinya memajukan bangsa Melayu (dengan memajukan Bahasa dan Sastera Melayu, ke peringkat dunia).

Teori As-Syu’araa’ – Sejak pertama kali menghujah dengan ayat-ayat As-Syu’araa’ ini ketika saya menolak pemilihan seorang Sasterawan Negara yang sudah dicalonkan oleh majoriti panel, dalam mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, hujah itu kemudiannya saya rumuskan sebagai Teori Sastera Surah As-Syu’araa’ dan menjadi teori sastera yang dipegang oleh PAKSI (Seniman Paksi Rakyat). Dengan hujah berdasarkan teori inilah juga PAKSI sedang berusaha melawan kezaliman dalam sastera Melayu yang dikawal oleh segelintir tokoh sastera yang dikenali sebagai Mafia Sastera Malaysia. Insya Allah perlawanan ini sedang diteruskan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *