KAJANG – Suspek kes samun kedai emas di Plaza Metro Kajang pada 17 Jun lalu ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di susur masuk ke Tol Sungai Balak, Lebuhraya SILK di sini, petang ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang sedang melakukan rondaan bertindak menahan sebuah kereta jenis Perodua.
Namun kata beliau, suspek enggan menghentikan kereta dan terus bertindak melepaskan tembakan ke arah polis.
“Bagi mempertahankan diri, polis terpaksa melepaskan tembakan dan suspek dipercayai mati terkena tembakan itu,” katanya dalam kenyataan di sini.
Hussein memberitahu, seorang anggota polis turut terkena tembakan yang dilepaskan suspek, namun terselamat.
“Berdasarkan semakan, kita mendapati suspek lelaki tempatan berusia pertengahan 30-an itu mempunyai enam rekod jenayah samun termasuk terlibat dalam kejadian samun di sebuah kedai di Plaza Metro Kajang beberapa bulan lalu,” katanya.
Beliau menjelaskan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Pada 17 Jun lalu, empat lelaki berpakaian seperti pengawal keselamatan merompak kedai emas di sebuah pusat beli belah di Kajang yang dianggarkan mengalami kerugian RM3.2 juta.
Semua suspek yang memakai topeng dan bersarung tangan gelap itu masuk ke premis di tingkat satu dan terus memecahkan cermin pameran emas menggunakan tukul besi dan mengambil barang kemas. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252