KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim sekali lagi gagal untuk menghentikan Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, menolak permohonan injunksi dalam saman pemula yang difailkan.
Sinar Harian melaporkan, Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain, memutuskan demikian selepas mendapati Mohd Azizi gagal memenuhi keperluan bagi mahkamah membenarkannya memperoleh injunksi sementara berkenaan.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri, diadakan pada 17 Ogos, berikutan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu.
Mohd Azizi selaku plaintif, memfailkan saman pemula pada 24 Jun lepas dan menamakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Mohd Amar dan SPR sebagai defendan.
Menerusi saman pemula itu, Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang ketika itu, memohon deklarasi bahawa pilihan raya kecil bagi DUN Nenggiri tidak boleh diadakan atau dikendali oleh SPR kerana ia masih dipegang olehnya.
Beliau turut memohon deklarasi mahkamah bahawa pemecatannya daripada Bersatu melalui notis bertarikh 12 Jun adalah tidak sah, bahawa notis itu sendiri tidak sah dan bahawa pemecatannya dibuat dengan niat jahat.
Mohd Azizi berkata, pindaan terhadap Perkara 10 Perlembagaan Bersatu yang menyatakan bahawa keanggotaan akan ditamatkan jika ahli terbabit menyokong parti lawan adalah tidak berperlembagaan.
Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan injunksi sementara yang difailkan oleh Mohd Azizi bagi menghentikan SPR daripada mengadakan PRK bagi DUN itu selepas memutuskan bahawa beliau tidak mengalami sebarang kerosakan kerana masih boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya itu.
Permohonan injunksi penuh oleh plaintif pula akan didengar pada 28 Ogos ini. -ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252