KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 27 Ogos depan untuk sebutan semula kes Toh Puan Na’imah Abdul Khalid yang didakwa gagal mematuhi notis untuk mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Keputusan dibuat Hakim Azura Alwi selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry memohon sebutan kes itu berjalan serentak dengan permohonan dokumen oleh pihak pembelaan.
Semalam media melaporkan Na’imah yang juga isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin memohon kepada Mahkamah Sesyen untuk mendapatkan penzahiran dokumen daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengemukakan dokumen pertuduhan dihadapinya yang gagal mematuhi notis SPRM berhubung pengisytiharan 70 aset miliknya.
Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, 86, selaku pemohon memfailkan permohonan penzahiran dokumen itu melalui Tetuan Raj & Sach pada 31 Januari lalu bagi mendapatkan sesalinan notis berkenaan namun tidak menerima sebarang maklum balas daripada pendakwaan selaku responden.
Daim kemudian memfailkan permohonan kedua pada 31 Julai lalu bagi tujuan sama.
Peguam M Puravalen yang mewakili Daim itu berkata, permohonan dibuat kepada pendakwaan selaku responden untuk mendapatkan sesalinan notis kes itu menerusi surat bertarikh 31 Januari lalu.
Bagaimanapun, responden gagal atau enggan membekalkannya salinan dokumen itu.
Puravalen tidak membantah permohonan pihak pendakwaan itu.
Azura menetapkan 27 Ogos depan untuk sebutan kes Na’imah dan pendengaran permohonan mendapatkan penzahiran dokumen.
Januari lalu, Na’imah, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Suami beliau turut didakwa atas pertuduhan sama membabitkan satu akaun bank, tujuh kenderaan mewah, 38 syarikat dan 25 hartanah.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan. – BH
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252