BERITA UTAMA

27 Ogos keputusan permohonan Daim pindah kes didengar bawah hakim lain

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen menetapkan 27 Ogos depan untuk keputusan permohonan Tun Daim Zainuddin supaya kes gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah yang dihadapinya, didengar hakim Mahkamah Sesyen lain.

Hakim Azura Alwi memutuskan perkara itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak hari ini.

Terdahulu ketika prosiding, peguam M Puravelan yang mewakili Daim yang juga bekas Menteri Kewangan menyenaraikan beberapa alasan termasuk undang-undang pertukaran mengikut Seksyen 104 Akta Mahkamah Rendah 1948 yang dibaca bersama dengan Seksyen 59, 99A serta Perenggan 3 Jadual Ketiga.

Peruntukan ini menetapkan kuasa am Mahkamah Sesyen untuk memindahkan kes ke mahkamah lain yang mempunyai bidang kuasa selaras di mana kepentingan keadilan memerlukannya.

M Puravalen turut memberikan alasan kecekapan dan keterpaksaan pasangan sebagai saksi akan mungkin mengganggu perjalanan kes.

“Di sini, suami (Daim) dan isteri (Toh Puan Na’imah Abdul Khalid) didakwa atas kesalahan sama dengan pertuduhan berasingan di hadapan hakim sama.

“Ini boleh menimbulkan persoalan tentang kebolehpercayaan dan kredibiliti saksi dan berat yang perlu dilampirkan kepada keterangan yang dikemukakan melalui dan oleh mereka,” katanya.

Pihak pembelaan turut mempertikaikan jenis bukti yang akan ditender juga sebagai alasan permohonan.

“Isteri pemohon pada mulanya disiasat atas alasan syak yang sama. Selepas itu, pada Oktober dan November 2023 beliau disiasat sebagai orang yang berkepentingan yang akan dapat membantu dalam siasatan terhadap pemohon dan memaksa beliau untuk memberikan maklumat mengenai aset dan sumber pendapatan beliau,” katanya.

Puravalen berkata mahkamah turut mungkin bersikap berat sebelah.

“Dengan terpaksa menggunakan jumlah keterangan yang banyak dalam kedua-dua perbicaraan yang mempunyai kaitan antara satu sama lain, serta perlu mempertimbangkan setiap keterangan tersebut terhadap pemohon dan isterinya, sama ada secara kolektif atau masing-masing, terdapat bahaya nyata mungkin berlaku ketidakadilan terhadap pemohon,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah permohonan itu kerana berpendapat hakim dan mahkamah cukup kompeten mendengar kedua-dua kes secara berasingan dengan adil tanpa sebarang sikap berat sebelah.

“Kebiasaan permohonan tukar hakim atau mahkamah boleh dipertimbangkan jika pendakwaan di dua mahkamah berbeza hendak dipindahkan untuk memudahkan urusan.

“Menghina mahkamah (dalam konteks ini) bukan mengutuk hakim tetapi mencabar kewibawaan mahkamah ini,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry berkata dakwaan sikap berat sebelah hakim dan mahkamah adalah tuduhan sangat serius.

Hakim kemudian menetapkan 27 Ogos depan untuk keputusan permohonan itu, selain memerintahkan Daim untuk hadir pada 27 Ogos depan.

Bagaimanapun Azura berkata jika terdapat masalah berkaitan kesihatan, pihak pembelaan harus membuat permohonan pengecualian kehadiran dan memaklumkan mahkamah lebih awal. – BH

Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *