BERITA UTAMA
Lenggok klasik Malam Bulan Di Pagar Bintang

Lenggok klasik Malam Bulan Di Pagar Bintang

KUALA LUMPUR – Persembahan tarian kontemporari moden, Malam Bulan Di Pagar Bintang di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) antara 31 Julai hingga 4 Ogos lalu menjadi acara penuh makna untuk penggemar seni terutama dalam dunia seni tari.

BHNews melaporkan, dengan mengetengahkan tiga tema tarian iaitu Revelling, Stand By Me dan Malam Di Pagar Bintang, acara anjuran Yayasan Sutra itu memberi pengalaman berbeza dalam satu masa buat penonton dengan lenggok tari klasik dibawa.

Bagaimanapun, acara berkenaan turut menyuntik dan menerokai elemen tarian kontemporari moden sebagai aspek penting dalam hamparan seni tanah air yang kaya dengan kepelbagaian.

Segmen tarian Reveling mengambil iktibar daripada tarian Bali dan gamelan, manakala Stand by Me diilhamkan oleh puisi Yunani yang meneroka tema hubungan cinta manusia, usia, penuaan dan perpisahan.

Karya berjudul Malam Bulan di Pagar Bintang pula diinspirasikan daripada rakaman filem lama yang dinyanyikan oleh Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma.

Pengasas Yayasan Sutra merangkap Pengarah Artistik dan Koreografer Malam Bulan Di Pagar Bintang, Datuk Ramli Ibrahim, berkata lagu dan persembahan klasik dipersembahkan membangkitkan nostalgia romantik zaman dahulu.

“Ini mungkin mengejutkan sesetengah pihak, walaupun Yayasan Sutra dikaitkan dengan tarian klasik India, kami juga bertanggungjawab memangkin minat dalam tarian moden kontemporari di Malaysia.

“Saya pernah membentangkan karya Pandanglah! Lihatlah! yang mempunyai persamaan dengan tema berpakaian hitam putih pada 1984.

“Ia kemudian direka oleh pereka pakaian pertama kami, iaitu Profesor Najib Nor dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Pandanglah! Lihatlah! ditayangkan dengan pembabitan pelakon, Allahyarham Mustafa Nor di Teater Eksperimen lama Universiti Malaya.

“Dalam banyak segi, persembahan Malam Bulan di Pagar Bintang adalah membangkitkan kenangan indah produksi terdahulu,” kata Ramli.

Malam Bulan di Pagar Bintang berlangsung selama 100 minit menampilkan artis seperti Sutra Rathimalar, Geethika Sree, Tan Mei Mei, Nishah Govind Kumar, Renuka, Vanizha, Nithya, Jyotsnaa, Rucika, Tishaa, Deepaa, Aishwaryaa, Vaishnavi, Kaaviyashri, Harenthiran, Vickneshwaran, Jayden Roy, Hareen Loganathan, Nevin Kumar dan Barath.

Penganjuran Malam Bulan di Pagar Bintang adalah acara tarian moden kontemporari pertama daripada Yayasan Sutra selama beberapa tahun.

Sepanjang empat dekad, selain berkaitan dengan tarian klasik India, Yayasan Sutra menceburi banyak karya kontemporari terkenal yang mentakrifkan ‘kemodenan’ daripada perspektif Asia.

Malam Bulan di Pagar Bintang meneroka genre tarian moden kontemporari Malaysia sebagai aspek penting dalam landskap tarian di Malaysia.

Tiga karya berbeza bersifat nasional dan antarabangsa mengenai seni serta budaya Malaysia ditonjolkan kepada penggemar bidang tarian klasik.

Yayasan Sutra adalah badan seni tradisional dan kontemporari diterajui oleh Ramli ditubuhkan sebagai yayasan sepenuhnya pada 2007.

Yayasan Sutra mengekalkan aktiviti dalam seni persembahan seperti Sutra Dance Theatre, pameran, galeri (Galeri KamaRia) dan pengajaran (Akademi Sutra). – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *