GUA MUSANG – Parti Bersatu menyifatkan pemilihan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sebagai perkara paling sukar dan cermat dilakukan bagi mengelak sejarah sama berulang.
Naib Presidennya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pada masa sama keluasan DUN Nenggiri ibarat seperti Perlis dan sudah tentu memerlukan calon yang terbaik dari segi usia, keupayaan, kekuatan mental dan penerimaan rakyat.
“Perkara ini yang paling cermat dilakukan kerana kita mempunyai sejarah yang tidak baik dan calon yang terpilih semestinya diterima oleh semua rakyat di DUN Nenggiri.
“Saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Calon BERSATU bertanggungjawab memilih calon.
“Dalam banyak-banyak ada seorang calon yang memenuhi ciri-ciri, namun dia orang Pas, kerusi di Nenggiri adalah kerusi milik BERSATU. Apa yang lebih penting kita tahu apa yang berlaku dan tujuan kita adalah mahu mencari calon terbaik.
“Jadi saya katakan kepada Pas, boleh bagi ke Mohd Rizwadi kepada kami dan jadi ahli BERSATU, sebelum ianya dipersetujui oleh Pas. Maka, dengan itu Mohd Rizwadi diumumkan sebagai calon BERSATU mewakili PN,” katanya dipetik Harian Metro ketika menyampaikan ceramah umum di Unit Daerah Mengundi (UDM) Sungai Terah, di sini, malam tadi.
Justeru katanya, Mohd Rozwadi yang juga bekas anggota TLDM dianggap calon terbaik dan cukup pakej.
“Pengalamannya sebagai bekas anggota TLDM, dalam dakwah dan kerja kemasyarakatan adalah pakej yang hebat jika dibandingkan dengan pihak lawan.
“Jika PRK Sungai Bakap kita boleh menang dengan tiga kali ganda, kita harap situasi sama juga berlaku di PRK Nenggiri pada 17 Ogos nanti,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252