KLANG – Dua penunggang motosikal berusia 16 dan 21 tahun maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat motosikal di Persiaran Raja Muda Musa, Klang, kira-kira jam 4.30 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kemalangan berlaku apabila beberapa kumpulan penunggang motosikal melakukan aksi tunggangan secara laju dan berbahaya di sepanjang jalan dari Kompleks Sukan Pandamaran ke Pelabuhan Klang sebelum berpatah balik dan membuat beberapa pusingan.
Beliau berkata, salah sebuah motosikal yang berada dalam kumpulan tersebut telah terbabas lalu dirempuh oleh beberapa motosikal daripada kumpulan yang lain.
“Akibat kemalangan itu, seorang penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kemalangan, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” lapor Kosmo! dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Khairul Nizam di talian 010-2452144.
Hoong Fong berkata, lokasi kejadian sering dijadikan litar bagi golongan remaja pada malam minggu meskipun sudah beberapa kali operasi dan tangkapan dijalankan.
Ibu bapa dinasihatkan untuk lebih peka akan aktiviti anak-anak agar tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252