KUANTAN – Seorang wanita ditemukan maut di bawah runtuhan rumah selepas dirempuh sebuah treler yang terbabas di Kampung Ketapang Hilir, Pekan, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, berdasarkan laporan, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.46 pagi.
Katanya, kejadian itu turut mencederakan tiga mangsa termasuk pemandu treler, manakala tiga lagi individu dilaporkan selamat.
“Kemalangan itu membabitkan sebuah treler yang membawa barangan pelbagai terbabas dan melanggar rumah jenis separuh kekal dihuni mangsa.
“Sebaik menerima panggilan itu, seramai 16 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan dan BBP Peramu Jaya bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, seorang wanita berada di bawah runtuhan sebelum operasi menyelamatkan digerakkan.
“Tiga mangsa yang cedera termasuk pemandu lori dihantar ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan,” katanya.
Ismail berkata, hasil operasi yang dijalankan, mangsa yang dilaporkan berada di bawah runtuhan itu ditemukan berada di bawah hadapan lori.
“Mangsa yang disahkan meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252