Siri Ke-25: Akta Pusaka Raja-Raja Melayu

GARIS ketetapan di bawah ini ialah amanat dan pesanan Mak Bonda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang bagi memberi perlindungan kepada Raja-Raja Melayu yang juga menjadi pelindung kepada agama Islam. Ini bertujuan untuk memperkukuh, mempertahan, memelihara dan mendaulatkan institusi Raja-raja Melayu sepanjang zaman.

Maka, dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim ini, dicadangkan suatu ketetapan, iaitu:

1.Ketetapan Pusaka Raja-Raja Melayu

Kalimah Allah, Adat Istiadat Raja-Raja Melayu, Alat-alat Kebesaran, Nama-nama Gelaran dan Lambang, Keturunan serta Takhta.

2.Ketetapan Pusaka Tanah Melayu

Tanah Air, Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu, Simbol Kebesaran Negara (bendera, bunga raya dan lagu Negaraku), Bahasa Melayu dan Tulisan Jawi, Hal Ehwal Agama Islam serta Warisan Sejarah Negara.

3.Ketetapan Pusaka Ilmu Kepimpinan

Raja-raja Melayu hendaklah mempunyai ciri-ciri berikut bagi memastikan kedaulatan dan kepimpinan Raja-raja Melayu dijaga dan disemat dalam jiwa. Antaranya:

Niat dan tujuan yang baik, menjadikan Islam sebagai panduan hidup, tegas dan berprinsip, perjuangan yang tulen dan ikhlas, berjiwa besar, tabah dan berani; keazaman dan kemahuan yang kuat, tidak tamak kuasa dan mementingkan diri, berhati bersih dan cintakan keharmonian, berilmu dan berpandangan jauh, bersyukur dan reda, bersifat pemaaf, ihsan dan benar; bijaksana, cekap dan tajam pemikiran; jujur dalam berkata-kata dan setia, bersifat berperikemanusiaan dan berhemah, sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakat, serta cintai negara dan kenang sejarah.

Dengan terhasilnya ketetapan ini, maka Tanah Melayu, Tanah Pusaka, tempat bertakhtanya Raka-raja Melayu yang berpaksikan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan terletak di kemuncak kedaulatan negara, makai a menjadi satu suatu undang-undang dan ketetapan perlembagaan Raja-raja Melayu yang berdaulat tanpa boleh dikuasai atau disentuh oleh mana-mana kuasa politik.

Realitinya

Perkara yang dicadangkan oleh Kak Lah telah pun tersurat dalam Perlembagaan Malaysia dan Undang-undang Tubuh Negeri. Antaranya, Perkara 32 Kepala Utama Negara, Perkara 38 Majlis Raja-Raja, Perkara 70 Keutamaan Raja dan Yang di-Pertua Negeri, Fasal 71 jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri, Perkara 181 Perkecualian bagi Kedaulatan Raja-Raja dan sebagainya, serta peruntukan-peruntukan lain dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memberi kuasa pemerintahan kepada Raja-Raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri beraja pula, bidang kuasa itu juga sangat jelas diletakkan dalam tangan sultan ataupun raja.

Perkara yang kurang ialah satu akta melindungi cabaran kedudukan raja-raja oleh masyarakat seperti yang berlaku pada hari ini. Walaupun hal itu telah dimasukkan dalam Akta Hasutan 1948, namun sangat umum dan disamakan dengan isu-isu lain. Sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai pemerintah negara dan negeri yang berdaulat, AKta Derhaka patut diperkenalkan bagi menghukum sesiapa sahaja yang mencabar dan menghina institusi raja di Malaysia.

Akta ini akan dapat memartabatkan kedaulatan institusi raja seperti yang sepatutnya. Cadangan supaya satu Akta Pusaka yang mengandungi hak kuasa raja terhadap Tanah Melayu, agama Islam dan kepimpinan yang ideal adalah sesuatu yang tidak kesemuanya termasuk Perlembagaan Malaysia dan Undang-Undang Tubuh Negeri atau Perlembagaan Negeri.

Hal bidang kuasa dan kedudukan raja serta kepimpinannya dalam agama Islam memang dimasukkan dalam perlembagaan negara dan negeri. Bagaimanapun, soal kualiti kepimpinan yang baik tidak dinyatakan dalam Perlembagaan negara ataupun negeri. Ini lebih bersifat dalaman Raja-Raja Melayu. Apakah Majlis Raja-Raja akan menerima cadangan ini?

Bab 1: Mencari Keturunan Yang Hilang

Segala keperitan hidup yang dilalui telah mendorong Kak Lah mencari keturunannya yang sebenar. Inilah yang telah diusahakan sepanjang kehidupannya setelah kegagalan demi kegagalan diterimanya. Mak Bonda menjadi penyelesai kerungsingan dan permasalahan yang dihadapinya. Segala mimpi yang dilalui menjadi kenyataan dalam hidupnya.

Ilmu dalam mencari nasab: Perkukuh sahsiah peribadi

Kak Lah telah mencari nasab bagi membolehkan dirinya menerima apa yang telah diperturunkan oleh Mak Bonda dengan seikhlas hati. Baginya, ini bukanlah hanya untuk kepentingan peribadi semata-mata, tetapi ilmu mengenal diri ini menjadi perisai kepada umat Islam di seluruh dunia apabila sampai masanya nanti.

Kita semua tahu bahawa sesebuah keluarga yang mempunyai sejarah lampau mempunyai hubung kait dengan masa kini. Keturunan raja, para ulama dan bangsawan tentunya mempunyai identiti tersendiri, yang mempengaruhi kehidupan generasinya pada hari ini. Tradisi kebudayaan juga meliputi sejarah dan warisannya pada masa kini. Makyung, menora, main puteri, ulek bonda, wayang kulit, ilmu persilatan, keturunan ilmu bomoh, keturunan ilmu bidan dan sebagainya yang menjadi satu identiti budaya sesebuah keluarga kadang-kadang mempunyai kebolehan tertentu yang diwarisi daripada datuk neneknya.

Namun, pada masa kini, kebolehan itu kurang diberikan perhatian dan jarang sekali dikaitkan dengan keturunannya. Kebolehan itu lebih dilihat sebagai kebolehan peribadi ataupun boleh dipelajari dengan sendirinya.

Namun, bukan semua individu mendapat kemahiran atau kebolehannya seperti itu. Tidak dapat dinafikan ada individu yang mempunyai kemahiran atau kebolehan yang datang secara sendiri tanpa dipelajari. Inilah yang dianggap misteri dan unik. Ilmu boleh datang dalam ataupun apabila seseorang itu diresapi unsur-unsur lama keturunannya.

Mungkin pada akal yang logik ini susah hendak diterima, namun perkara ini tetap berlaku tanpa dapat dihuraikan apakah yang mempengaruhinya sehingga individu itu mempunyai kebolehan seperti itu. Inilah keadaan yang mendorong dan menggalakkan sistem bomoh dan pawang masyarakat Melayu masih lagi berlaku dam diterima oleh masyarakat.

Apakah yang akan berlaku kepada kelompok masyarakat yang mempunyai hubungan dengan keturunannya dan kebolehan istimewa ini. Adakah mereka akan terus dihargai? Atau adakah mereka tidak dipercayai dan dianggap karut? Bagi mereka yang mempunyai hubungan istimewa ini, carilah dengan menggunakan mata hati yang berlandaskan syariat Islam dan jangan sesekali melanggar apa yang telah ditetapkan oleh Islam, agar kita tidak mudah terpesong dari jalan kebenarannya.

Secara realiti kehidupan Kak Lah mungkin tidak sama dengan kisah masyarakat lain yang mengalami masalah nasab dalam mengenali diri dan dunia masa lampau. Dari zaman kanak-kanak lagi, kehidupan beliau tidak keruan kerana hidupnya seakan ganjil daripada adik beradiknya yang lain.

Setiap masa Kak Lah sentiasa dilanda pelbagai dilema dan mimpi-mimpin pelik seakan memaksa dan menyuruh beliau mencari diri dan keluarga asal. Sejak itu, kehidupan Kak Lah mulai berubah dari satu fasa ke fasa yang lain. Semuanya dalam keadaan yang menekankan kekuatan mental, emosi dan fizikal yang kental.

Ranjau dalam mencari keturunan asal

Sebulan sebelum menjelang Ramadan tahun 2014, satu kajian secara terperinci telah dibuat mengenai nasab sebenar Kak Lah. Ditambah pula dengan cerita yang pernah diberitahu oleh ibunya bahawa ayah Hussin bin Ibrahim bukanlah ayah kandungnya. Jadi, percaturan ini sebenarnya mengambil masa yang agak panjang untuk menghimpunkan keterangan, fakta dan maklumat bagi mencantum dan mempertemukan nasab keluarga beliau yang asal.

Kemelut menukar status nama pengenalan diri

Setelah jelas salasilah keturunannya, Kak Lah berusaha untuk mendapatkan semula gelaran dirajanya bagi dirinya dan juga anak-anaknya, iaitu Noatiqi Rasidi, Noshafikar Rasidi dan Syeik Putra Abdul Halim. Dia ingin mengembalikan gelarannya mengikut keturunannya. Namun, dia tidak diberi layanan yang sebaiknya oleh pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Siri Ke-25: Akta Pusaka Raja-Raja Melayu

Malah, masyarakat pula telah melemparkan pelbagai tuduhan yang buruk kepadanya. Dia dituduh untuk mendapat nama, kuasa dan darjat diraja Kelantan. Hatinya berasa sangat sedih dan sayu. Namun, ini memberikan motivasi kepada wanita berhati besi ini untuk tidak mudah mengaku kalah. Kecekalan hati Mak Bonda dalam menghadapi dugaan dan cabaran, telah menjadi pegangan dan pendirian hidup Kak Lah yang tertanam kejap di hatinya. Dia akan terus berusaha untuk mendapat pengiktirafan itu.

Bab 2: Menjejak Kasih

Sebagai tanda hubungannya yang rapat dengan warisan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, Raja Perempuan Kelantan, Kak Lah sentiasa menunaikan mimpi yang dialaminya. Mimpi itu selalu memberi petunjuk terhadap sesuatu perkara yang mempunyai kaitan dengan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang.

Tempat-tempat peninggalan pemerintahan lama dilawati dan dijaganya. Ini semata-mata untuk menjaga warisan sejarah dan tamadun bangsa. Begitu juga dengan barang-barang pusaka lama yang diberikan kepadanya. Dia tetap menjaga barang-barang tersebut tanpa menyalahgunakannya.

Kolam Serendah Sekebun Bunga

Pada tahun 1995, semasa aktif bersama Peniagawati, Kak Lah telah diperkenalkan dengan seorang lelaki tua yang dikenali sebagai pakcik Yassin (arwah) yang tinggal di Kampung Kedai Piah, Serendah, Ketereh, ketika Peniagawati mengadakan majlis di kampung itu.

Pakcik Yassin memberitahu Kak Lah bahawa Mak Bonda telah meminta agar dia mencari seorang wanita yang memakai batu delima merah besar. Pakcik Yassin telah membawa Kak Lah ke satu kolam di Kampung Kedai Piah. Sebaik tiba di sana dan terpandang kolam itu, Kak Lah merasakan seperti pernah melihatnya.

Sejak hari itu, Kak Lah kerap berkunjung ke kolam berkenaan dan beliau sering menerima barang-barang yang agak unik dan penuh bermakna dari Pakcik Yassin yang mengatakan barang itu arahan Mak Bonda untuk diserahkan kepada Kak Lah. Barang-barang itu terdiri daripada kayu-kayu yang berbentuk penuh simbolik.

Bagi menjaga dan mengekalkan peninggalan sejarah, Kak Lah turut memajukan kawasan Tanah Serendah Sekebun Bunga dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Persekutuan bagi membina sebuah wakaf sebagai tempat istirahat bagi pengunjung yang datang ke kolam tersebut. Kawasan itu difahamkan pernah menjadi kawasan pemerintahan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang dan juga Puteri Saadong.

Ekspedisi ke Gunung Cinta Wangsa

Kedudukan sebenar Gunung Cinta Wangsa ini tidak dapat ditentukan dengan jelas kerana di Kelantan terdapat nama Gunung Cinta Wangsa dan Bukit Cinta Wangsa. Di Negeri ini juga terdapat Gunung Ayam di tiga lokasi, tetapi umumnya mengetahui Gunung Ayam terletak berhampiran Gunung Cinta Wangsa.

Selepas dipersetujui dan mencapai kata sepakat, kami telah pergi ke rumah seorang pakar sejarah Kelantan yang pernah menjadi Pengarah Jabatan Warisan Negara, Encik Siri Neng Buah. Daripada beliau, kami telah mendapat lampu hijau mengatakan Gunung Cinta Wangsa dan Gunung Ayam itu merupakan pusat pemerintahan Paduka Cik Siti Wan Kembang II, iaitu penyambung waris ataupun legasi pemerintahan Paduka Cik Siti Wan Kembang I pada tahun 1310 yang berpusat dan berkerajaan di Gunung Cinta Wangsa, Ulu Lebir yang bersempadan dengan Kelantan-Terengganu.

Selepas dikemaskinikan pelbagai analisis dan maklumat, Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia telah bersetuju membuat ekspedisi ke sempadan negeri Kelantan-Terengganu, iaitu lokasi sebenar pemerintahan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II yang memerintah Kelantan.

Ekspedisi ke Gunung Cinta Wangsa berlangsung pada 1 Jun 2014. Perjalanan itu diiringi dengan semangat, doa, ilmu dan keazaman semangat juang yang tinggi bagi mencari bukti sejarah, di mana pusat pemerintahan yang sebenar baginda kerana sudah tiba masa untuk kami membuktikan, membongkar sejarah dan tamadun yang sudah lama tercicir ini, untuk dikembalikan semula pada zaman yang penuh dengan teknologi siber yang canggih.

Perjalanan ke Gunung Cinta Wangsa bermula dari Simpang Relai ke Ulu Lebir. Perjalanan ke gunung itu sebenarnya menguji ketahanan fizikal, mental dan emosi. Ini kerana, mereka terpaksa melalui jalan tanah yang tidak rata dan berbahaya serta menuruni cerun yang dalam hingga membuatkan mereka gayat.

Hanya semangat yang kuat yang mengatasi segala rintangan sepanjang perjalanan yang mengambil masa hampir dua jam, iaitu sejauh 42 kilometer dari Simpang Relai, Laloh. Turut kelihatan banjaran gunung yang menjadi tanda sempadan Kelantan-Terengganu. Sungguh cantik keindahan ciptaan Allah itu.

Di penghujung perjalanan itu, pacuan empat roda yang mereka naiki hanya mampu sampai sekilometer sahaja lagi ke gunung itu. Untuk pengetahuan pembaca, di sini kawasan ekologi tidak terusikm dipenuhi pokok malar hijau, bunga-bungaan dan bayas yang cukup indah sekali. Pokok pinang raja yang berbatang kemerahan dan kekuningan teguh berdiri mencelah daun-daun rimba yang hijau.

Mereka rasa amat bertuah dan bersyukur kerana dapat sampai ke situ. Ini suatu anugerah yang tidak dapat dilupakan. Misi perjalanan mereka diteruskan lagi untuk mendekati dan mencari tanda ataupun simbol pusat pemerintahan baginda, iaitu bunga seroja merah, kolam mandi, taman rama0rama dan tulisan Arab pada batu. Akhirnya mereka bertemu dengan apa yang mereka cari.

Menurut temubual bersama Encik Neng Siri Buah, tulisan pada batu itu dikenali sebagai tulisan “KAWI”, iaitu tulisan zaman Srivijaya Majapahit. Menurut Sa’ad Shukri Muda, 1971, “Detik-Detik Sejarah Kelantan” hlm 25, kerajaan Sivijaya yang pertama di Kelantan telah wujud pada awal kurun kelima (kira-kira 500M-1450M), di mana kota pemerintahan Srivijaya terletak di Kuala Krai, di pertemuan antara Sungai Lebir dengan Sungai Kelantan dan kerajaan Srivijaya dikatakan berakhir sehingga Sultan Baqi Syah anakanda kepada Raja Bharubhasa.

Ini tidak menghairankan kerana Kelantan adalah satu-satunya negeri tertua di Semenanjung Tanah Melayu. Sejak kira-kira10,000 tahun yang lalu bumi Kelantan telah pun didatangi dan dihuni manusia. Hakikat ini terbukti dengan penemuan bahan-bahan tinggalan zaman prasejarah atau artifak-artifak di beberapa tempat di negeri Kelantan terutamanya di kawasan Ulu Kelantan.

Setelah penat dalam perjalanan, rombongan ekspedisi diketuai YM Tengku Rozila (Dato Bentara) dan Nik Ahmad Khusairi (Dato Laksamana), rombongan berasa kecewa kerana apa yang dihajati tidak kesampaian. Merek amula berkemas untuk perjalanan pulang. Sambil berehat seketika mereka membuka bekalan makanan dan makan tengah hari.

Ketika itulah berlaku kejadian yang aneh. Dato Bentara melihat sekumpulan rama-rama dan kelulut lebih 500 ekor menghampiri beliau seolah menunjukkan arah kepada Dato Bentara. Beliau mengekori kumpulan rama-rama dan kelulut itu.

Subhanallah, haiwan itu telah menbawa Dato Bentara ke tempat bunga kenanga lambang kerajaan Cinta Wangsa yang ditunjukkan kepada Dato dan rombongannya. Sepohon pokok Bunga Kenanga yang pokoknya tunggal dan bunganya tunggal serta mempunyai kelopak bunga yang berwarna merah.

Dalam perjalanan pulang, orang yang sama antara mereka telah diperlihatkan tulisan yang menjadi bukti tertulis pada ukiran batu dalam sungai bertulis “Muhammad”. Aneh, mistik, tetapi itulah realitinya. Pemandangan gunung yang penuh misteri ini terus menjadi saksi kepada kemegahan pemerintahan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang dalam memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air pada satu masa dahulu. Cita-cita perjuangannya itu terus direstui kepada Kak Lah.

Sekembalinya mereka dari perjalanan itu, mereka terus menemui Penasihat kebudayaan Pertubuhan, Encik Siri Neng Buah. Menurutnya, tujuh tahun lalu satu ekspedisi ke Gunung Cinta Wangsa telah dianjurkan oleh Jabatan Warisan Negara. Niat mereka untuk menjejaki kawasan pemerintahan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang,

Niat mereka itu terlaksana dengan penemuan kubur lama, bunga cempaka merah dan kolam mandi. Namun, kunjungan kali kedua oleh pasukan berkenaan tidak berjaya menemui kawasan tersebut. Namun, apabila beliau mengetahui niat Kak Lah untuk menulis buku mengenai Paduka Cik Siti Wan Kembang, barulah dia yakin akan penemuan kawasan pemerintahan baginda semula. Ini benar-benar terjadi. Adakah suatu kebetulan atau sebuah misteri?

Kota Langkasuka (Empayar Cermin)

Langkasuka ialah sebuah kerajaan Hindu Melayu silam yang terletak di Semenanjung Tanah Melayu yang diasaskan pada kurun kedua Masihi. Langkasuka ialah lambang yang boleh dijulang tinggi sebagai antara kerajaan Melayu terawal.

Pada tahun 1335M, Raja Sang Tawal (raja negara Langkasuka) telah digantikan oleh puteranya, iaitu abang kepada Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I, Raja Bharubhasa (Sultan Mahmud Syah). Baginda telah menggabungkan Semenanjung, Campa, Kemboja dan Samudera-Pasai di bawah takluknya dan mengisytiharkan nama baharu Empayar Cermin.

Pada saat ini, Langkasuka yang berpusat di Pattani selaku pusat empayar. Raja Bharubhasa yang memberi bantuan ketenteraan kepada Kedah untuk menggulingkan Raja Maha Prita Daria, iaitu Raja Bersiong kemudiannya telah menggabungkan Kedah dalam Langkasuka yang kemudian diikuti Perak (Gangga Negara). Pertemuan demi pertemuan dengan kuasa Siam telah melenyapkan Langkasuka bersama lenyapnya Empayar Cermin. – NasionalDaily

Bersambung

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *