SEPANG – Pihak pendakwaan hari ini mengesahkan terdapat tiga lagi dokumen belum diserahkan kepada pembelaan berhubung kes melepaskan tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, membabitkan pengurus syarikat agensi pelancongan, Hafizul Hawari.
Ketika sebutan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Affendy Hamzah, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shazwani Abdullah berkata, dokumen lain sudah diserahkan kepada pasukan pembelaan secara separa.
“Hari ini ditetapkan serahan dokumen, saya menyerahkan kepada pihak pembelaan dokumen secara separa.
“Dokumen yang belum diserahkan itu adalah laporan perubatan penuh, laporan kimia tempat kejadian dan forensik. Justeru saya memohon satu tarikh lain bagi serahan dokumen seterusnya,” kata Nor Shazwani.
Ketika prosiding, peguam Nik Azim Azlan yang mewakili Hafizul kemudian mengesahkan dokumen separa sudah diserahkan dan ketika ini menunggu lagi baki tiga dokumen.
Selepas mendengar makluman kedua-dua pihak, Amir Affendy kemudian menetapkan 28 Ogos ini bagi sebutan semula kes bagi serahan tiga lagi dokumen lanjutan seperti yang dimaklumkan pihak pendakwaan, lapor Harian Metro.
Terdahulu, Hafizul, 38, yang berbaju putih kelihatan tenang tiba di mahkamah pada jam 9.40 pagi.
Pada 25 April lalu, Hafizul mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan selain mahkamah menolak ikat jami diberikan kepada tertuduh berikutan dua pertuduhan itu serius.
Berikutan tiada ikat jamin diberikan, Hafizul kekal ke Penjara Sungai Buloh sehingga sebutan semula kesnya.
Mengikut pertuduhan pertama, Hafizul didakwa melakukan cubaan bunuh terhadap Farah Md Isa, 38, di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal, 1 KLIA di sini jam 1.09 pagi, 14 April lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan jika menyebabkan kematian boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun.
Pertuduhan kedua, Hafizul didakwadengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Mohd Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol senjata yang boleh menyebabkan kematian pada waktu, tempat dan tarikh sama yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan dengan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Selain Mahkamah Sepang, Hafizul turut didakwa dan mengaku tidak bersalah tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan termasuk memiliki senjata api, peluru dan mercun.
Ketujuh-tujuh kesalahan itu dilakukan oleh Hafizul di dalam sebuah kereta jenis Honda Civic di pekarangan Hospital Pakar KPJ Perdana di sini, Kota Bharu jam 2 petang, 15 April lalu.
Harian Metro sebelum ini melaporkan selepas melarikan diri lebih 36 jam, Hafizul yang disyaki melepaskan tembakan di Balai Ketibaan KLIA, Sepang akhirnya berjaya diberkas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Hafizul ditahan di depan sebuah hospital swasta kira-kira jam 3 petang. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252