Siri Ke-23: Perjuangan Tiga Serangkai dan Kelab Bumi Rahmat

Siri Ke-23: Perjuangan Tiga Serangkai dan Kelab Bumi Rahmat

KAK LAH, Wan Marzida dan Maimun merupakan tulang belakang dalam kejayaan penubuhan Peniagawati Kelantan. Mereka saling membantu antara sama lain hingga wujudnya ikatan persahabatan yang sangat akrab. Umpama hubungan kekeluargaan, kerana mereka yakin dalam persahabatan sifat ikhlas jiwa, hati yang bersih dan berfikiran positif adalah teras dalam hubungan mereka.

Pertemuan Wan Marzida dengan Kak Lah telah diatur oleh Allah SWT dalam satu majlis di Hotel GRV tahun 2000 sehinggalah bergiat aktif bersama dalam Peniagawati Kelantan KBR. Di sinilah hubungan kekeluargaan telah bermula dengan keluarga Dato’ Wan Omar. Rupanya perancangan Allah itu benar.

Dalam hubungan keluarga yang mula akrab Kak Lah dengan keluarga Dato’ Wan Omar rupa-rupanya adalah sesuatu berharga yang tersirat selama turun temurun. Warisan keturunan Kak Lah dan Dato’ Wan Omar telah menyerahkan keris pusaka nenek moyang yang diamanahkan kepada Kak Lah.

Keris ini ialah keris lonjakan. Kak Lah ialah pewaris setelah Dato’ Wan Omar menyerahkan kepada Kak Lah sebagai pewaris asalnya. Kak Lah telah menggunakan keris ini sebagai keris kebesaran untuk pertubuhannya.

Dato’ Wan Omar merupakan seorang pemimpin yang hebat pada zaman mudanya dan mempunyai kemahiran dalam bidang seni dan pembuatan keris serta ukiran sewing keris, membuat tengkolok dan banyak lagi kerja seni halus yang diwarisi daripada Keturunan Raja Asal ini.

Diari Kelab Bumi Rahmat

Alhamdulillah, dengan adanya Kelab Bumi Rahmat, Kak Lah dapat mengisi ruang untuk meneruskan kehidupan dengan membantu masyarakat dan menjalankan aktiviti badan sukarela di seluruh Kelantan.

Bagi mencari modal permulaan, Kak Lah terpaksa berkorban. Beliau terpaksa menjual rumahnya untuk membiayai penubuhan pejabat operasi Kelab Bumi Rahmat. Sebahagian darinya telah digunakan untuk membiayai aktiviti sosial Kelab Bumi Rahmat Kelantan. Kak Lah juga pernah ke Brunei bersama ibu dan seorang sahabat dengan hasrat untuk menjual batu delima merah yang diberikan oleh Mak Bonda kepadanya.

Hasratnya untuk mencari sumber kewangan bagi mempertahankan NGO yang beliau tubuhkan itu. Kak Lah berada di Brunei selama 17 hari untuk menemui Baginda Sultan Brunei.

Pihak istana telah bertanya, “Kak Lah ini berasal dari keturunan mana? Belia uterus menjawab, “Pasir Puteh”. Mereka sebaliknya mengatakan Kak Lah “mesti keturunan raja, sebab kami tengok Kak Lah berketurunan raja”. Kak Lah turut membawa gambar Mak Bonda dan menunjukkan kepada mereka. Mereka terus berkata, “Ya, gambar bonda kita”. Mereka kenal semua.

Kak Lah merasa sangat hairan dengan apa yang berlaku. Kak Lah sebaliknya gagal untuk mendapat sumber kewangan itu kerana pihak istana enggan membelinya. Mereka tidak mahu mengambil sesuatu yang telah diberikan oleh Mak Bonda kepada Kak Lah. Penasihat Istana mengatakan hak milik itu tidak boleh dipindah kepada orang lain. Mereka yang kenal Mak Bonda mesti menghormatinya. Kak Lah terpaksa balik dengan tangan kosong, tetapi fikirannya binggung memikirkan peristiwa di Istana Brunei itu.

Pada suatu malam di Brunei, Kak Lah telah bermimpi Mak Bonda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang datang dan berkata, “Hai cucu saktiku, kamu menyesal ke mengambil ilmu aku? Kak Lah menjawab, “Tak! saya tak menyesal”. Mak Bonda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang memberitahu bahawa “sebiji bulan akan datang ke ribamu”.

Dia tunjuk ke langit dan dia tunjuk ke perut Kak Lah. Tiba-tiba Kak Lah tersedar dari mimpi. Pada keesokan harinya, Kak Lah berangkat pulang ke Malaysia. Para sahabat telah menunggunya di lapangan terbang dan terus membawa Kak Lah pulang ke rumah. Kegagalan Kak Lah mencari dana dirasai bersama.

Permulaan menubuhkan Kelab Bumi Rahmat memang perit sekali. Bagaimanapun, berkat kesabarannya dan pertolongan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Kelab Bumi Rahmat Kelantan telah mendapat peruntukan sebanyak RM25 juta dari kerajaan Malaysia untuk diagihkan kepada ahli-ahlinya.

Sebagai pengasas dan juga Yang Dipertua Kelab Bumi Rahmat, Kak Lah berasa sangat gembira dan bersyukur kerana Kelab Bumi Rahmat Kelantan, dengan sokong Tun Dr. Mahathir, telah diberi kepercayaan oleh kerajaan.

Dana itu disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN). Pertubuhan Kak Lah dipertanggungjawab untuk menjalankan Mikro Kredit kepada usahawan kecil dan sederhana di Kelantan.

Kelab Bumi Rahmat Kelantan telah berjaya mengumpul dan membantu anggota masyarakat yang memerlukan, iaitu seramai 15,000 orang. Dengan yuran keahlian sebanyak RM20, Kelab Bumi Rahmat dapat mengumpul dana dan bergiat aktif.

Pelbagai ujian terpaksa dihadapi sepanjang menguruskan skim Mikro Kredit itu. Ada yang menuduhnya salah guna duit ahli, caj pengurusan yang tinggi, salah guna kuasa dan banyak lagi. Kak Lah melaluinya dengan tabah sekali sehingga semuanya itu dapat diatasi dengan jayanya.

Melalui laporan-laporan yang disediakan dan dikemukakan kepada pihak BSN, yang menjadi bank pengurus dana tersebut, Kak Lah mempunyai rekod kerja dan pengurusan yang bersih. Tidak ada penyelewengan dana dan salah guna kuasa. Laporan yang betul kepada Tun Dr. Mahathir juga menyelamatkan diri Kak Lah dan Kelab Bumi Rahmat dari sebarang musibah.

Kak Lah sebaliknya menjadi sangat terkenal di seluruh Kelantan, dengan kerja-kerjanya itu. Banyak pihak cuba untuk menjadi sepertinya, tetapi sia-sia sahaja. Kepercayaan Tun Dr. Mahathir kepadanya adalah sangat tinggi sehingga pengurusan Mikro Kredit itu dapat dijalankan dengan baik sekali.

Kelab Bumi Rahmat merupakan sebuah NGO yang bertindak sebagai penyokong kepada dasar-dasar kerajaan. Kelab ini bekerjasama dengan kementerian, jabatan, agensi kerajaan, syarikat swasta dan individu yang mempunyai matlamat yang sama dengan Kelab Bumi Rahmat.

Hasrat kelab untuk menjadi sebuah persatuan yang memberikan khidmat terbaik kepada ahli dan masyarakat telah terbukti dengan jayanya. Kelab Bumi Rahmat Kelantan juga telah memberikan pendedahan dan kemahiran serta maklumat dalam pelbagai bidang ilmu, ekonomi, sosial dan kebajikan masyarakat, melalui penglibatan agensi kerajaan itu dalam kegiatannya.

Kelab Bumi Rahmat telah melaksanakan pelbagai aktiviti dan program dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan; Kementerian Belia dan Sukan; Jabatan Pelancongan Negeri Kelantan; Majlis Seni Budaya; Rakan-rakan Pengguna Kelantan; Jabatan Kebajikan Masyarakat; Lembaga Penduduk dan Keluarga Negeri Kelantan; Jabatan Hal Ehwal Khas; Majlis Agama Islam Kelantan; Peguam-peguam Syarie; NGO-NGO; Jabatan Pembangunan Persekutuan; Kolej PTPL; Polis Diraja Malaysia; Kastam Diraja Malaysia; dan pemimpin masyarakat.

Antara program yang dilaksanakan ialah Kurus Hak-Hak Wanita, Kursus Keganasan Rumah Tangga, Larian Amal, Kursus Asas Memasak Kek dan Biskut, Kursus Lanjutan Memasak Roti, Kek dan Biskut. Kelab Bumi Rahmat juga telah bekerjasama dengan sekolah, menjadikannya anak angkat kelab. Sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan.

Pada 27 Ogos 2005, satu perarakan Jung Suluk Kapal Ulana Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang telah dianjurkan oleh Majlis Seni Budaya dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan dan Kesenian Kelantan sempena Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke-48. Sempena itu juga, Kelab Bumi Rahmat turut terlibat secara langsung bagi menjayakan program berkenaan.

Perarakan kapal diadakan dari Tanah Serendah Sekebun Bunga, Ketereh berjalan sehingga ke pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV. Sebelum perarakan bermula, Kak Lah telah menasihatkan agar diletakkan al-Quran di atas kapal tersebut, tetapi ada beberapa orang yang turut terlibat dengan penganjuran perarakan itu tidak bersetuju dengan cadangan itu. Mereka sebaliknya telah menempatkan beberapa wanita berpakaian tradisional Kelantan di atas kapal Jung Suluk Kapal Ulana itu. Ini menggambarkan seolah perarakan kapal itu sebagai satu pesta, bukannya mengimbas kenangan sejarah lama yang berpaksikan Islam.

Kedegilan mereka telah mengundang padah. Di sepanjang perjalanan itu hujan lebat dan ribut petir yang luar biasa telah berlaku tanpa diduga. Sedangkan langit sebelum itu kelihatan biasa sahaja. Orang ramai yang mengiringinya bertempiaran lari mencari perlindungan. Mereka bimbang akan keselamatan diri.

Mereka yang membawa kapal itu bagaimanapun terpaksa meneruskan perjalanan. Majlis akan dimulakan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Apabila tiba, Jung Suluk Kapal Ulana tidak dapat melepasi pintu gerbang Stadium Sultan Muhammad IV. Sebenarnya mereka telah mengukur saiz kapal itu dengan keluasan pintu stadium sebelum kapal dibina. Namun, apabila sampai di lokasi, replica kapal itu menjadi besar dan tidak dapat melepasi puntu gerbang stadium.

Maka, majlis itu terpaksa dilangsungkan tanpa kapal Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang di hadapan pentas. Majlis itu tidak dapat dilakukan dengan sempurna seperti perancangan asal. Kapal itu akhirnya terpaksa diletakkan di luar stadium. Pulut kuning yang disediakan bertabur di luar pintu stadium kerana hujan.

Selepas majlis tamat, seorang daripada penganjur yang terlibat telah sakit tenat dan meninggal dunia beberapa hari kemudian, Pihak hospital tidak dapat mengesahkan penyakit yang dihidapinya. Kematian itu menimbulkan pelbagai persoalan. Ada yang berpendapat Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang seorang tokoh sejarah yang tidak boleh diremehkan. Agama Islam menjadi pegangannya dan tanah air merupakan khazanah bangsanya. Ini mesti dihormati dan dihargai.

Kejayaan Kelab Bumi Rahmat

Sepanjang penglibatan Kak Lah dengan Kelab Bumi Rahmat, beliau tidak pernah berputus asa. Beliau sentiasa mengutus surat kepada pucuk pimpinan dan menghantar segala laporan kerja dalam Kelab Bumi Rahmat. Pengorbanan dan bakti yang dicurahkan kepada Kelab Bumi Rahmat amat berbaloi apabila kelab itu menerima Anugerah Kualiti Perdana Menteri Sektor Sosioekonomi Tahun 2004 dan Anugerah Pertubuhan Cemerlang 2006.

Penglibatan Kak Lah melalui Kelab Bumi Rahmat telah membolehkan beliau mendekatkan diri dengan pelbagai lapisan masyarakat dan membantu mereka yang memerlukan bantuan kehidupan, dengan panggilan “Kak Lah”.

Kelab Bumi Rahmat Diraja Cik Siti Wan Kembang, Malaysia

PADA 31 Julai 2012, Kelab Bumi Rahmat Kelantan telah dinaik taraf dan ditukar nama kepada Kelab Bumi Rahmat Diraja Cik Siti Wan Kembang Malaysia dengan menggunakan nombor pendaftaran yang sama. Namun, kelulusan Kelab Bumi Rahmat Diraja Cik Siti Wan Kembang Malaysia ditarik balik oleh Jabatan Pertubuhan Kelantan pada 19 Oktober 2012 dengan adalan penggunaan “diraja” tidak boleh digunakan dan mesti mendapat perkenan DYMM Sultan Kelantan dan SPB Yang di-Pertuan Agong.

Maka, kelab dikekalkan dengan nama Kelab Bumi Rahmat Kelantan. Gabungan nama Kelab Bumi Rahmat dan Cik Siti Wan Kembang adalah perlu bagi menyambung perjuangan ilmu Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, kerana Kelab Bumi Rahmat wujud hasil daripada doa yang diberi oleh Mak Bonda, dengan kata lain, “Saya (Kak Lah) tidak pernah tinggal kasut”.

Tujuan peningkatan ini untuk meletakkan nama Cik Siti Wan Kembang sebagai satu jenama warisan bangsa Melayu. Daripada nama itu, semangat dan legendanya akan terus dapat disebut dan dikekalkan sebagai satu khazanah tamadun bangsa dan tanah air sesuai dengan kehebatan dan ketokohannya yang tersohor dan sejarah.

Roh dan semangat perjuangannya itu akan terus dapat menjadi inspirasi keturunannya pada hari ini supaya dapat menggalas tanggungjawab yang sama atau sepertinya; dengan itu institusi raja sebagai teras tamadun bangsa, seperti yang diasaskan oleh Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang dan raja-raja yang terdahulu dapat dijelmakan sentiasa dalam sanubari bangsa dengan agama Islam sebagai pasaknya. Inilah harapan Kak Lah sebagai Yang Dipertua Kelab Bumi Rahmat Diraja Cik Siti Wan Kembang ini.

Aktiviti Kelab Bumi Rahmat Diraja Cik Siti Wan Kembang

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah menjalin hubungan yang rapat pertubuhan atau anggota masyarakat yang lain, demi melahirkan sebuah masyarakat yang aman. Persefahaman sesama manusia sangat penting untuk menjadikan kelab ini dan semangat Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang beradun sama, supaya menjadi satu tarikan kemasyarakatan yang jitu.

Kak Lah ingin menjadikan kelab ini sebagai satu pertubuhan bukan kerajaan yang dipandang oleh masyarakat. Pesanan Mak Bonda yang mendapat semangat dan pesanan daripada Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, sentiasa bersemat di hatinya.

Majlis Penyampaian Sijil Watikah Pelantikan peringkat Malaysia

 

Satu perkara yang dilakukannya ialah memberikan sijil-sijil penghargaan kepada mereka atau pertubuhan yang bekerjasama dengannya, terutama yang membantu Kelab Bumi Rahmat Diraja Cik Siti Wan Kembang dalam kerja-kerja masyarakat di Kelantan.

Pada 3 November 2011, satu Majlis Penyampaian Sijil Watikah Pelantikan peringkat Malaysia telah diadakan di Tok Aman Bali Beach Resort, Pantai Bisikan Bayu, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan. Ketika persiapan dewan dan sesi latihan dibuat, pihak multimedia telah memainkan lagu “Tanah Serendah Sekebun Bunga”, yang telah dicipta khas untuk majlis itu.

Tiba-tiba Kak Lah bangun membuka langkah silat yang begitu berseni dan sangat sukar digambarkan dengan tulisan. Beliau bersilat dengan hebat, gagah, lincah dengan gerak langkah yang sangat tangkas, sehebat seorang pahlawan Melayu. Ada ketikanya seolah beliau sedang bertarung dengan pihak lawan dengan menggunakan (secara simbolik) senjata seperti pedang, keris dan anak panah.

Semuanya ini dapat dilihat dengan jelas oleh mereka yang hadir. Semuanya terpegun, kagum dengan kebolehan Kak Lah itu. Situasi ini berlaku hampir 15 minit. Apabila Kak Lah berhenti, keadaannya sangat letih dan tidak bermaya. Seolah beliau penat bertarung. Apakah Cik Siti Wan Kembang menjelma dalam diri Kak Lah?

Seorang ustaz yang turut hadir, memberitahu beliau dapat melihat banyak kapal dagang telah berlabuh di tepi pantai berhampiran Tok Aman Bali Beach Resort dan mereka turut serta memenuhi dewan majlis itu. Keanehan perkara itu hanya dapat dilihat olehnya.

Majlis berlangsung dengan berjaya sekali. Dengan berkonsepkan warisan kesenian dan kebudayaan sebagai terasnya, majlis itu telah memperlihatkan kehebatan warisan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang di mata masyarakat. Majlis ini juga adalah untuk memberikan pengiktirafan dan pengesahan kepada keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang di mata seluruh masyarakat Malaysia amnya dan Kelantan khasnya.

Dengan pemberian sijil-sijil persahabatan kepada mereka yang bekerjasama dan membantu Kelab Bumi Rahmat Diraja Cik Siti Wan Kembang, diharapkan akan menjadi satu jambatan penghubung silaturahim yang berkekalan antara mereka. Sokongan anggota masyarakat kepada kelab ini akan membolehkan kerja-kerja amal dapat dilaksanakan melalui bantuan penerima-penerima sijil itu.

Majlis turut dihadiri kerabat diraja Kelantan yang terdiri daripada Kerabat Diraja Cik Siti Wan Kembang (Cherang), Kerabat Diraja Long Ghaffar, Kerabat Diraja Long Yunus, Kerabat Diraja Jembal dan ahli Kelab Bumi Rahmat.

Jelajah Tabung Keamanan Gaza, Palestin

Majlis pelancaran Jelajah Tabung “Keamanan Gaza” Palestin dilancarkan secara rasminya pada 22 November 2012 di pejabat urusan Kelab Bumi Rahmat Diraja Cik Siti Wan Kembang di No. 3535-1 Tingkat Bawah, Jalan Kuala Krai, Wakaf Siku, 15050 Kota Bharu, Kelantan. Pelancaran ini mendapat idea daripada pelancaran Tabung Keamanan Palestin di Kuala Lumpur. Tabung Keamanan Kebangsaan itu telah dilancarkan Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak di PWTC, Kuala Lumpur (sekarang WTC-Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur) sempena Perhimpunan Agung UMNO.

Sokongan terbuka kerajaan Malaysia terhadap nasib rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim zionis itu memang diketahui dunia. Semua rakyat dan NGO-NGO Malaysia menyokong dasar ini. Kelab Bumi Rahmat Diraja Cik Siti Wan Kembang tidak terkecuali, walaupun di peringkat Kelantan.

Tabung ini untuk membantu meringankan kesengsaraan rakyat Palestin yang sedang menderita akibat perbuatan jahat rejim zionis. Misi Tabung Keamanan Gaza adalah antara aktiviti amal kelab yang dilancarkan bermula di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu pada 25 September 2012.

Tabung ini dilancarkan selama sebulan, iaitu sehingga 29 Disember 2012. Pelaksanaan Misi Tabung Keamanan Gaza telah diadakan di seluruh Kelantan. Ahli Jawatankuasa kelab telah bergerak secara berkumpulan antara 10 hingga 20 orang dengan menggunakan lima kenderaan ini, menyasarkan kawasan tumpuan orang ramai bagi memastikan kutipan yang tinggi dapat diraih.

Antaranya termasuklah Pasar Tani, Pasar Malam, Pasar Raya, Pasar Besar dan rumah. Tujuan Misi Tabung Keamanan Gaza, Palestin ialah melahirkan kesedaran untuk membantu umat Islam Palestin dan menghulurkan rasa persaudaraan sesama Islam.

Masyarakat Kelantan telah menyokongnya dengan begitu baik sekali. Mereka menderma seikhlas dan termampu yang boleh. Mereka memahami penderitaan rakyat Palestin yang dianiayai Israel.

Hasil kutipan tabung sebanyak RM20,000 telah diserahkan kepada Tun Dr. Mahathir ketika lawatannya ke Kota Bharu atas anjuran NGO Perkasa Kelantan pada 9 Mac 2013. – NasionalDaily

Bersambung

Telegram: https://t.me/nasionaldailykepada

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *