JOHOR BAHRU – Polis menahan tiga individu bagi membantu siasatan kes kehilangan seorang kanak-kanak perempuan di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri pada Sabtu lalu.
Individu terbabit, termasuk seorang wanita ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari di sekitar Gelang Patah, kata Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.
Beliau berkata, susulan menerima laporan kehilangan kanak-kanak berusia enam tahun, gerakan memburu diteruskan dan tiga individu terbabit berusia 28 hingga 55 tahun ditahan untuk membantu siasatan.
“Kes kehilangan kanak-kanak itu juga sudah diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Kata Kumar, siasatan lanjut masih lagi dijalankan dan tiga individu itu akan dibawa ke mahkamah pagi ini untuk mendapatkan perintah reman.
Bagaimanapun, katanya, kanak-kanak itu belum ditemui dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“Sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh disalurkan ke talian hotline Polis Johor di talian 019-2792095 atau talian Bilik Gerakan 07-2212999,” katanya.
Sabtu lalu, Albertine Leo Jia Hui disedari hilang oleh bapanya kira-kira jam 8.30 malam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan dilaporkan berkata, kanak-kanak itu berketinggian kira-kira 120 sentimeter (cm) dan rambutnya panjang berwarna hitam, selain berkulit cerah dan bertubuh kurus sederhana.
Ketika hilang, kanak-kanak itu memakai baju T-shirt putih bergambar ‘Mickey Mouse’ dan berseluar pendek. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252