Masak bubur asyura Kg Gertak 3 meriah

Masak bubur asyura Kg Gertak 3 meriah

Oleh Ismail Daud

RANTAU PANJANG – Kariah Masjid Mukim Pintu Cherang, Kampung Gertak 3 di sini mengadakan program memasak bubur asyura melibatkan empat kawasan dan kumpulan penduduk setempat.

Kawasan itu ialah Masjid Pohon Setol, Taman Nering Jaya, Belia Cabang Empat Salam dan Masjid Mukim Pintu Cherang selaku penyelaras program.

Menurut Imam Muda Masjid Mukim Pintu Cherang, Ahmad Zakwan Yusoff, tujuan program itu diadakan bagi mengeratkan silaturahim antara penduduk setempat, sekali gus dapat mengimarahkan masjid setiap waktu solat.

“Pihak masjid ini memberi sumbangan sebanyak RM500 kepada masjid yang menyertai program iaitu bergantung kepada kreativiti kumpulan masing-masing untuk menambah kos serta penampilan ahli dari segi kostum dan sebagainya.

“Setiap kumpulan dinilai markah dari segi kelazatan bubur asyura, pakaian seragam ahli, kebersihan serta kerjasama antara ahli kumpulan sebagai memeriahkan suasana, tetapi bukan pertandingan,” katanya kepada NasionalDaily semalam.

Menurut Ahmad Zakwan, program seumpama itu julung kali diadakan yang dihadiri kira-kira 300 penduduk termasuk kanak-kanak memenuhi pekarangan masjid sejak pagi dan sempat menyediakan 500 bekas bubur asyura untuk diagihkan kepada penduduk sekitar.

Pelbagai kategori hadiah disediakan termasuk cabutan nombor bertuah, tokoh peserta terbaik, selain hadiah utama kumpulan terbaik.

Hasil penilaian pihak juri, kumpulan penduduk Masjid Pohon Setol dipilih tempat pertama, diikuti Masjid Taman Nering Jaya (kedua), Masjid Mukim Pintu Cherang (ketiga) dan kumpulan Belia Cabang Empat Salam tempat keempat.

Penyampaian hadiah disempurnakan Imam Tua, Khaidir Hamid. – NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *