Siri Ke-20: Kak Lah dibawa ke Kampung Telaga Papan sempadan Kelantan-Terengganu

Siri Ke-20: Kak Lah dibawa ke Kg Telaga Papan sempadan Kelantan-Terengganu

PADA tahun 1997, Mak Bonda membawa Kak Lah ke Kampung Telaga Papan, Besut sempadan Kelantan-Terengganu. Sampai di sebuah rumah, ada sahabat bertanya, “Mok nak wak gapo ko Kak Lah ni?” Dia jawab, “Aku nak tengok, uji dia 13 tahun”.

Naik atas rumah, dia bawa Kak Lah masuk dalam bilik. Dia buka almari cermin lama atau antik. Dalam tu ada sepasang kain berwarna biru merah jambu, corak berbunga dari Negeri China. “Kain sutera satin Cina hok ni Negara China bagi kat aku,” kata Mak Bonda. Lalu dibawanya keluar pakaian seragam polis zaman dahulu iaitu skirt pendek warna merah darah ikan. “Aku sempat jadi polis sekejap,” katanya. Selepas itu, Mak Bonda tunjukkan sebilah keris.

Kak Lah melihat dengan kebinggungan tanpa berkata apa-apa, cuma dengar dia berkata-kata. Selepas makan nasi tengah hari dihidang dengan lauk sayur keladi, kegemaran Kak Lah, maka dibawa pula ke hujung kampung di bawah rumah kayu kecil penuh dengan pokok buluh.

Kami naik ke atas rumah itu dan Kak Lah tengok beberapa keping pinggan mangkuk yang usang. Suasana rumah itu begitu menyeramkan apabila pokok buluh berselisih antara satu sama lain mengeluarkan bunyi yang menakutkan. Hati Kak Lah tiba-tiba sedih mengenangkan kehidupan Mak Bonda.

Mak Bonda pernah mengatakan kepada Kak Lah, Mak Tua yang tinggal di Kampung Aril, Bachok bersamanya itu ialah anak angkatnya. Mak Bonda pernah bercerita mengenai cara dia memanjakan anak angkatnya itu. Katanya, “Dulu aku bawa dia bermain di gunung dengan bergantung di lengan aku dan aku bawa dia naik kuda dengan berpegang sebelah tangan sahaja macam ni,” katanya sambil menggayakan situasi itu.

Agak menghairankan Kak Lah apabila melihat anggaran umur Mak Bonda dengan Mak Tua agak jauh berbeza. Malah, dari segi fizikal, Mak Tua itu kelihatan lebih tua daripada Mak Bonda. Mak Tua juga pada masa sama ialah ibu mentua Mak Bonda.

Mak Bonda telah berkahwin dengan Ayah Wa, anak angkat Mak Tua. Mereka tidak dikurniakan anak. Pernah Mak Bonda mengandung tujuh bulan, tetapi bayi itu hilang. Yang dilahirkan hanya seketul darah. Ayah Wa bungkus ketulan darah itu dengan kain dan membawa ke mana sahaja dia berjalan hingga orang menganggapnya hilang akal. Ayah Wa memegang bungkusan kain itu sehingga dia meninggal dunia.

Mak Bonda juga pernah berkahwin dengan seorang lelaki ketika dia tinggal di Pahang. Namun, perkahwinan itu tidak kekal lama dan mereka tidak mendapat zuriat.

Pada suatu hari, Kak Lah melawat Mak Bonda di rumahnya di Kampung Aril. Mak Bonda kelihatan letih sedikit, walaupun suaranya tetap jelas bercerita mengenai kerisauannya dengan nasib bangsa dan agamanya.

Mak Bonda berasa risau keadaan masyarakat hari ini tidak peduli kepada sejarah dan warisan lama, terutama mengenai tanah air. Sambil duduk berhampiran pagar, Mak Bonda berkata, “Aku dah penat, nak pergi dah. Boleh dah, dia boleh dah buat… boleh dah…” Mak Bonda menunjukkan ke arah Kak Lah.

Ini bermakna, dalam pencarian Mak Bonda akan seorang pengikut atau “cucu sakti”, Mak Bonda telah ditakdirkan bertemu dengan Kak Lah, yang dipercayainya boleh menerima dan melaksanakan tugas untuk menegakkan warisan ilmu yang dimilikinya selama ini.

Warisan Raja-Raja dan kerajaan Melayu

Warisan Raja-Raja dan kerajaan Melayu yang bermula di Bukit Siguntang Mahameru, Sumatera, dan kemudian berkembang ke Segenting Kra hingga ke Kelantan, telah menghasilkan satu tamadun Melayu yang tinggi.

Namun, kerana peperangan dan penjajahan Siam, kerajaan Melayu dan perwarisannya menjadi lemah serta terbiar. Tidak mungkin budaya Melayu dan agama Islam akan dimakmurkan dalam pemerintahan yang bukan dari golongan itu. Maka, tertutuplah kehebatan dan kegemilangan tamadun Melayu di tanah asing.

Begitu juga dengan Kesultanan Melayu Melaka yang telah membina tamadunnya selama 115 tahun di selatan Tanah Melayu, juga berasal dari Bukit Siguntang Mahameru. Dalam perluasan empayarnya, Kesultanan Melayu Melaka telah terkait dengan kerajaan Pattani melalui penjajahan dan perkahwinan diraja antara Pattani dan Melaka.

Namun, keduanya terkubur di tangan penjajah. Bagaimanapun, Kesultanan Melayu Melaka telah berjaya mengembangkan sistem pemerintahan dan budayanya kepada negeri-negeri Melayu yang lain dalam Persekutuan Malaysia hari ini.

Semua warisan Raja-Raja dan kerajaan Melayu di utara dan selatan Tanah Melayu adalah satu manifestasi penyebaran tamadun Melayu yang jelas Kepulauan Melayu atau Alam Melayu ini. Namun, masa telah membawa perubahan tertentu kepadanya. Penjajahan dan campur tangan luar dalam kerajaan Melayu, kedatangan orang luar dan perubahan ekonomi yang berlaku, telah mencabar dan mencairkan tamadun Melayu itu.

Sehingga hari ini, walaupun terasnya masih ada, tamadun Melayu tidak lagi dapat bertahan dari segi wajah dan pendekatannya. Generasi hari ini tentulah tidak sama dengan generasi Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang yang hidup sekitar kurun ke-13 atau ke-14. Keadaan dan cita rasanya jauh berbeza.

Namun, Kak Lah telah diberikan idea dan tugasan untuk menegakkan warisan bangsanya melalui Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia. Melalui NGO ini, sejarah dan warisan bangsa dapat dihidupkan semula. Generasi hari ini dapat semula dihidangkan sajian budaya lama dan belajar mencintainya sebagai satu identiti dan jati diri bangsa.

Globalisasi memang mencairkan semuanya itu kerana konsep ‘dunia tanpa sempadan’ telah mendekatkan manusia secara intim dalam media sosial, tanpa ada apa-apa batasan agama, bangsa dan budaya. Ketahanan diri sebagai seorang Melayu dan Islam menjadi sangat rapuh.

Maka, cara untuk mempertahankannya ialah dengan mengenal dan mencintai sejarah dan warisan bangsa sendiri. Inilah matlamat dan wawasan Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, pimpinan Kak Lah.

Mak Bonda telah kembali ke rahmatullah pada 13 Februari 2000 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan lama yang sangat luas di Kampung Bukit Kechik, Gunung, Bachok, Kelantan. Jika dilihat bentuk kuburnya, ia adalah sebuah kubur lama dengan batu nisannya pipih dan bujur; seperti kebiasaan batu nisan lama. Jika dia dikebumikan tahun 2000 seperti tarikh kematiannya, sepatutnya batu nisannya berukir dan bertulis namanya seperti kebiasaan pada hari ini.

Kubur Mak Bonda dengan batu nisan pipih

Permukaan tanah kuburnya juga amat rata, seperti telah terlalu lama. Kak Lah mengambil gambar ini dua minggu selepas Mak Bonda dikebumikan. Adakah dia jelmaan Cik Siti Wan Kembang I? Dia mendampingi Kak Lah secara fizikal untuk mewariskan ilmu batinnya.

Hubungan Kak Lah dengan Mak Bonda selama beberapa tahun, telah mendatangkan banyak faedah kepada dirinya. Daripada Mak Bonda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang itu, Kak Lah dapat mempelajari banyak ilmu yang mengandungi falsafah dan yang penting mengenai kehidupan peribadi serta tanah airnya.

Mak Bonda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang meninggalkan ilmu air matanya untuk dipusakai oleh kaum wanita. Kesedihan yang mendalam pada jiwanya telah menjadi jiwa dan sumpah janjinya kepada bangsanya untuk mempertahankan tanah pusaka dari dihancurkan dan terus lenyap di makan zaman oleh sifat-sifat dan roh jahat yang tidak mengenal hak serta mutlak dan hukum alam.

Mak Bonda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang menggalas tanggungjawab yang bertali arus dalam menjaga tanah pusaka dan memperturunkan ilmu keturunan yang diamalkan sejak digelar Sang Kali Tunggal (Hulubalang Wanita) yang menjadi wirawati, penuh dengan pengembaraan hidup dan kasih sayang yang melimpah ruah kepada pengikutnya.

Pergorbanan kepada tanah pusaka yang tidak berbelah bahagi meletakkan dirinya di tempat yang tertinggi dan sanggup menolak untuk menjadi ibu dan isteri bagi melindungi tanah air setelah mengenali Allah Yang Maha Pengasih, Yang Maha Adil dan Yang Maha Agung.

Itulah harapan Mak Bonda kepada Kak Lah, pewaris ilmu yang dipilihnya. Antara ilmu warisan yang ingin disampaikan kepada wanita sejagat, termasuklah:

Ilmu Wanita / Gelaran Raja

Gelaran raja-raja merupakan gelaran yang tidak boleh digunapakai oleh sembarangan orang. Gelaran ini satu gelaran khas yang digunakan oleh orang-orang yang mempunyai darah pertalian dengan kerabat diraja. Orang-orang pada zaman dahulu begitu takut dan gerun kepada raja-raja dan mereka akan patuh serta hormat.

Gelaran seperti Ku, Nik, Wan dan Che adalah perkataan yang membawa maksud mengiakan dan tunduk. Ini menunjukkan dan menandakan mereka taat setia kepada raja.

Di Kelantan, lebih dua pertiga rakyatnya berketurunan raja, tetapi oleh sebab mereka malu, miskin dan takut, mereka tidak terlalu mengambil berat mengenai hal itu. Ramai sanggup buang gelaran tersebut dan tidak mahu digelar lagi kerana dihimpit kemiskinan.

Kain Kuning

Pembawa amalan budaya kain kuning bermula daripada penganut Buddha (Siam). Bagi mereka, kain kuning yang digunakan ialah kuning jingga yang terang, tetapi apabila Raja Melayu juga mengamalkan kain kuning, ia telah diubah sedikit warnanya.

Warna kuning juga dianggap sebagai pancaran matahari (cahaya Allah). Oleh itu Raja-Raja Melayu menggunakan warna kuning bagi melambangkan darjat yang tinggi setelah cahaya memasuki tubuh. Terdapat juga pihak-pihak yang terlalu taksub kepada mereka menggunakan kain kuning untuk memperdayakan orang ramai.

Amalan ilmu sihir ini telah disalahgunakan oleh kebanyakan masyarakat Kelantan, terutama yang bergemar “bomoh”. Dalam Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia, kain kuning telah digunakan dan diamalkan bagi semua majlis adat istiadat.

Ilmu Pusaka Seorang Wanita

Mahkota wanita telah lama dipakai oleh Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Gemerencih Sang Kali Tunggal. Perjuangan sebagai pahlawan wanita menguji kekebalan jiwanya. Itulah lambang Mahkota Wanita yang asal. Tuntutan ilmu hati, keyakinan diri, keikhlasan budi, kehalusan naluri, kelembutan kalbunya menjadikannya wanita yang berdaulat dan tinggi ilmunya.

Cik Siti Wan Kembang

Ini tidak akan dicapai oleh mereka yang cuba mencari, mengenal dan mengkaji siapa Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, Raja Perempuan Kelantan itu tanpa izin-Nya. Penulisan ceritera ini telah direstuinya melalui hubungannya dengan Kak Lah yang dianggap sebagai “cucu saktinya”. Dan, pewaris akhir ilmunya serta amanah pusaka air matanya.

Lahirnya manusia untuk menjadi khalifah sangat sesuai diberikan kepada kaum lelaki (Adam). Malangnya, Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang telah merampas ilmu khalifah ini angkara kecacatan kelahirannya tanpa tangan.

Perdebatan yang berlaku telah mencabar keadilan Tuhan Sang Pencipta Alam. Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang terpaksa merayu dan berdoa dengan penuh takwa untuk membuktikan keadilan Allah SWT kepada dirinya. Dia bermohon supaya dikembalikan haknya sebagai manusia biasa yang bertangan dengan sempurna.

Pada ketika itu, tiada lagi Tuhan baginya melainkan Allah SWT yang telah membuktikan kuasa keajaiban kepada dirinya. Maka, bermulalah langkahnya menyebarkan keyakinan ilmu yang diwarisi dan diamalkannya.

Namun, sudah menjadi adat keegoan lelaki yang tidak akan menerima seseorang wanita melebihi kesempurnaan lelaki yang digelar khalifah. Walaupun pemerintahannya adil dan dikagumi rakyat, namun tetap ditolak oleh kaum lelaki. Demikianlah kerumitan hidupnya. Dia tidak diterima dengan keadaan dirinya sebagai seorang wanita.

Keupayaannya diragui. Kerajaannya diambil alih oleh abangnya, Raja Bharubhasa. Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II juga kecewa dengan anak angkatnya. Dia juga kecewa dengan kekejaman seseorang lelaki yang bernama suami. Akhirnya dia memilih untuk menjadi kekasih Allah SWT, dengan mengabdikan dirinya dengan sepenuhnya.

Dia meninggalkan kerajaannya kerana dunia tidak lagi penting untuknya. Hidupnya adalah untuk menyebarkan ilmu kewanitaannya yang merupakan sebuah mahkota pusaka wanita itu sendiri. Inilah yang dimaksudkan mahkota asal bagi seorang wanita, iaitu mencari kekuatan dan keikhlasan jiwa yang diredai Allah.

Ilmu Pusaka Diperturunkan: Lagu Angin Puteri

Lagu ini ialah permainan yang dimainkan oleh inang-inang, yang mendampingi Puteri Saadong supaya dapat menghilangkan rasa sedih dan kecewanya akan peristiwa yang lalu. Lagu ini memberi erti sebuah penyesalan atas perbuatannya terhadap suaminya. Ini juga satu penyesalan terhadap qada dan qadar yang telah ditetapkan Allah terhadap dirinya.

Puteri Saadong (Lakonan)

Puteri Saadong juga telah bersumpah untuk menuntut hak wanitanya yang dipermainkan oleh seorang lelaki. Baginda ingin menuntut semula kekuatan jiwa wanita mengatasi kaum lelaki. Wanita mesti lebih tabah dan kuat semangat dalam menghadapi cabaran hidup. Inilah Sumpahan Puteri Raja Keramat ini.

Ternyata permainan lagu Angin Puteri telah menjadi kekuatan semangat waja wanita Kelantan yang terkenal sebagai wanita yang boleh berdikari tanpa kekuatan lelaki. Walaupun wanita dicipta dari tulang susuk seorang lelaki (Nabi Adam as), tetapi apapun berlaku, wanita diajar untuk taat, reda dan bersabar demi mencari jalan yang bijaksana dalam menangani perasaan cemburu dan sakit hati terhadap suami yang curang.

Namun, hal ini pula telah menyebabkan lahirnya sifat ego wanita yang pula memandang rendah kepada kaum lelaki. Akhirnya sejarah kehidupan dan jiwa wanita Puteri Saadong berulang.

Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang membawa diri setelah mendapati anak angkatnya gagal membawa harapannya untuk menyambung amanahnya sebagai seorang pejuang membela tanah air, mempunyai maruah dan sabar menempuh dugaan hidup. Mahkota pemerintah yang tersungkur itu tidak dapat dijulang lagi di petala takhta. Maka Mak Bonda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang bersuluk mencari ketenangan dan mendekatkan diri kepada Allah.

Baginda bertekad untuk melaksanakan ilmu tunggal ini kepada pewaris yang layak menerimanya daripada keturunannya. Usianya yang terlalu lanjut menyebabkan rambutnya bersinar putih dan sinaran matanya seperti mata harimau, menandakan kekebalan ilmu pusaka wanita, yang dikatakan Mahkota Wanita. – NasionalDaily

Bersambung

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *