IPOH – Pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh yang menjual mangga asam boi dekat Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), Hilir Perak antara yang ditahan dalam operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak.
Memetik laporan Astro Awani, Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, pihaknya menjalankan Ops Selera, Ops Dandan, Ops Jaja, Ops Sapu, Ops Kutip dan Ops Gegar pada Khamis hingga awal pagi Jumaat.
Katanya, sebanyak 15 premis melibatkan kediaman, perniagaan, hotel dan refleksologi termasuk di tepi jalan raya sekitar daerah Kinta, Perak Tengah, Hilir Perak serta Bagan Datuk telah diperiksa.
“Operasi dijalankan Bahagian Penguatkuasa Imigresen Ipoh dan Unit Penguatkuasa Pejabat Imigresen Teluk Intan bermula jam 9 pagi pada 18 Julai dan tamat jam 3.30 pagi Jumaat.
“Serbuan dibuat berdasarkan aduan, pemantauan serta risikan yang dijalankan Unit Risikan dan Operasi Imigresen Perak di premis tersebut.
“Seramai 40 pegawai Imigresen terlibat dalam pemeriksaan yang dijalankan ke atas 63 orang yang berada di premis berkenaan.
“Didapati 26 warga asing terdiri daripada 11 warga Indonesia, Myanmar (enam), Bangladesh (tiga), India (tiga), Thailand (dua) dan Sri Lanka (satu) berusia antara 18 dan 49 tahun ditahan kerana dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sehubungan itu, katanya, semua warga asing tersebut ditahan di Depot Imigresen Ipoh dan Langkap bagi tujuan siasatan.
Meor Hezbullah turut menzahirkan penghargaan di atas maklumat yang diberikan orang ramai.
Selain berharap masyarakat membuat laporan atau aduan bagi membantu Imigresen membanteras kehadiran PATI dan aktiviti kurang bermoral warga asing dalam negara. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252