KUALA LUMPUR – Punca kematian Nur Farah Kartini Abdullah, 25, belum dapat disahkan berikutan bahagian dada dan mukanya yang reput ketika dijumpai.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, Pakar Patalogi Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh memerlukan keputusan analisis makmal terhadap beberapa sampel biologi yang diambil pada mayat untuk mengenal pasti punca kematian.
“Pakar belum dapat sahkan sebab kematiannya buat masa ini kerana mayat yang sudah reput terutama di bahagian dada serta muka. Selepas dapat keputusan analisis makmal, barulah pakar dapat putuskan punca kematian,” katanya dihubungi pemberita hari ini.
Hussein turut mengesahkan sebuah kereta jenis Toyota, milik suspek yang juga kenalan mangsa telah dirampas untuk siasatan lanjut.
Mayat Nur Farah Kartini, 25, dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang, pada Isnin.
Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.
Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga seorang anggota polis bertugas di Perak telah ditahan dan direman hingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kronologi kehilangan dan pembunuhan Nur Farah Kartini. Mangsa yang berasal dari Sarawak adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) dengan Kepujian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan bekerja di bahagian pemasaran digital sebuah kedai percetakan di Perak.
11 Julai 2024
Polis menerima laporan pada jam 1.56 pagi berhubung kehilangan Nur Farah Kartini selepas gadis itu menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di Taman Universiti, Tanjung Malim.
Nur Farah Kartini dilaporkan kali terakhir dilihat selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di sebuah taman perumahan di Tanjung Malim kira-kira jam 8 pagi 10 Julai lalu.
Mangsa kemudian didakwa menaiki sebuah kereta berwarna merah yang tidak dikenal pasti nombor pendaftarannya berikutan hujan ketika itu.
Gadis itu kali terakhir dilihat berpakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar slack hitam
Komunikasi terakhir antara seorang kakitangan bahagian pengurusan kedai percetakan terbabit dengan gadis itu ialah pada jam 8.14 pagi (hari kejadian) dan mangsa tidak dapat dihubungi selepas itu.
12 Julai 2024
Seorang kakitangan bahagian pengurusan kedai percetakan merayu Nur Farah Kartini pulang, menerusi laporan media
Gadis itu disifatkan sebagai seorang yang komited dalam kerja sepanjang hampir setahun bekerja di kedai percetakan berkenaan.
Nur Farah Kartini dilaporkan tidak bekerja dengan syarikat perkhidmatan kereta sewa, sebaliknya hanya membantu sesiapa yang mahu menyewa kereta kerana mendapat komisen daripada usaha itu
Abang Nur Farah Kartini yang tinggal di Selangor dilaporkan pergi ke Tanjung Malim pada malam hari kejadian untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan lanjut mengenai kehilangan adiknya itu.
15 Julai 2024
Mayat Nur Farah Kartini dilaporkan ditemui di FELDA Gedangsa, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang. Mangsa dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Khan berkata, hasil pemeriksaan awal mengesahkan mayat itu adalah mangsa yang dilaporkan hilang berkait laporan di Tanjung Malim
Seorang suspek berusia 26 tahun ditahan
Abang mangsa ke lokasi kejadian
16 Julai 2024
Seorang penjawat awam yang ditahan bagi membantu siasatan susulan penemuan mayat Nur Farah Kartini, tiba di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada jam 8.48 pagi. Suspek dilihat memakai pelitup muka dan berbaju lokap polis berwarna oren.
Hakim Mahkamah Sesyen, Nurul Mardhiah Mohammed Redza, mengeluarkan perintah tahanan reman ke atas penjawat awam berusia 26 tahun itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, memaklumkan suspek adalah teman lelaki mangsa. Berpandukan siasatan terhadap suspek membawa kepada penemuan mayat mangsa di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, petang semalam.
Abang mangsa, Mohd Farriza Azmi Abdullah, berkata jenazah Nur Farah Kartini dijangka dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Lereng Bukit, Miri, Sarawak, untuk dikebumikan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252