Buli Esha di TikTok: Suspek wanita bebas dengan jaminan

Kes pempengaruh bunuh diri: Ibu buat laporan terhadap 3 individu

KUALA LUMPUR – Polis menerima laporan daripada ibu kepada pempengaruh media sosial, A Rajeswary, 30, atau lebih dikenali Esha berhubung dakwaan wujudnya ugutan melalui aplikasi TikTok terhadap mendiang anaknya membabitkan tiga individu termasuk bekas pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, laporan berkenaan dibuat PR Puspa, 56, iaitu ibu Esha di Balai Polis Selayang pada jam 6.34 petang semalam.

“Laporan itu telah dipindahkan ke Balai Polis Setapak kerana kejadian berlaku di PPR (Program Perumahan Rakyat) Gombak Setia dan PPR Gombak Setia di bawah pentadbiran Balai Polis Setapak, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada jam 6 petang semalam, Puspa yang ditemani menantu lelakinya hadir di IPD Gombak membuat laporan berhubung dakwaan terbabit, selain diminta memberi keterangan kepada pegawai penyiasat dan urusan tersebut selesai kira-kira jam 8 malam tadi.

Puspa ketika ditemui pemberita di hadapan IPD Gombak memberitahu, sepanjang minggu ini beliau dimaklumkan oleh anaknya yang lain, terdapat video serta siaran langsung dimuat naik oleh tiga individu berkenaan yang bercakap mengenai Esha.

“Seorang daripada mereka wanita yang juga bekas pegawai polis yang mempertikaikan Esha pernah ditahan polis sebelum ini,” katanya.

Bernama sebelum ini melaporkan Esha ditemukan meninggal dunia di sebuah unit kediaman kondominium di Setapak pada Jumaat lalu, sehari selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi berhubung buli siber yang dihadapinya.

Laporan itu kemudian dirujuk kepada IPD Sentul untuk siasatan. – Bernama

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *