Sukar cari penaja punca upah pelakon teater rendah

Sukar cari penaja punca upah pelakon teater rendah

Oleh Farihad Shalla Mahmud dan Fatin Farhana Ariffi – Berita Harian

KUALA LUMPUR – Perkongsian aktres Farah Ahmad, 46, mengenai nasib pelakon teater berstatus bukan selebriti atau berwajah komersial, baru-baru ini, mencetus polemik mengenai kadar bayaran ditawarkan penerbit teater terhadap penggiat seni pentas.

Melalui hantaran TikTok, Farah yang juga menantu kepada aktivis teater dan pelakon veteran, Datuk Fauziah Nawi, sedih mendengar luahan ‘adik-adik’ dalam industri teater apabila merungut mengenai kadar bayaran berbeza dengan selebriti yang terbabit dalam pementasan sama.

“Sedih apabila adik-adik industri teater mengadu ada suara mengatakan budak teater bukan selebriti, jadi kenapa hendak kena bayar mahal?

“Allahuakbar… Mahal sangatkah adik-adik letak? Tetapi, bukankah mereka belajar berlakon, tidak kisah kumpulan teater bertahun atau masuk universiti.

“Mereka belajar dan sedia dengan ilmu lakon sebelum masuk industri kreatif dan bekerja.

“Faham dengan perniagaan seni, tetapi janganlah hina tubuh badan yang menjadikan cerita awak ada orang (menonton).

“Kalau dikira gaji mereka sehari awal letak, macam gaji pekerja buruh kontrak, lagi tinggi sehari ada yang dapat RM120,” katanya.

Mengikut amalan penerbit teater, bayaran untuk pelakon sama ada selebriti atau bakat yang datang daripada latar belakang seni pentas, bergantung kepada bajet keseluruhan yang diterima daripada pembiaya bagi sesebuah projek teater.

Misalnya, andai bajet RM30,000 diperuntukkan bagi bayaran semua pelakon selepas ditolak kos produksi, jumlah itu perlu dibahagikan mengikut status pembawa watak sama ada selebriti popular atau pelakon pentas, selain faktor kepentingan karakter dan sebagainya.

Kos bagi pelakon berstatus selebriti bergantung pula kepada taraf bintang individu terbabit, misalnya, apakah mereka dalam kelompok nama-nama besar atau apa yang dilabel ‘A List’ dalam industri lakonan tempatan.

Difahamkan, pelakon nama besar boleh menerima bayaran RM50,000 bagi satu projek teater bergantung kepada terma dan persetujuan dicapai dengan penerbit.

Farah mengakui keseronokan dikecapi setiap kali berganding dengan pelakon yang ada asas dalam bidang teater dan seni lakon.

“Apabila bermain rasa dengan orang yang ada asas teater atau lakon, apa yang bagusnya, kami sedar diri, ruang, rakan lakon dan tidak di bawah sedar.

“Kami berlatih dialog dan pergerakan agar senang teknikal untuk mengatur langkah. Kami berbincang dengan pengarah untuk mendapatkan titik tengah agar apa yang dia mahu, dapat,” katanya menjelaskan kelebihan pelakon yang mendapat pendedahan di pentas teater.

Mengikut amalan penerbit teater, bayaran untuk pelakon sama ada selebriti atau bakat yang datang daripada latar belakang seni pentas, bergantung kepada bajet keseluruhan diterima daripada pembiaya. – Gambar Hiasan

Berkongsi pandangan, penerbit dan pengarah terkenal, Erma Fatima berkata, selebriti mendapat bayaran tinggi dalam mana-mana projek atas faktor pengaruh mereka diperlukan untuk ‘menjual’ produk.

“Kalau ikutkan sejak azali lagi bayaran diberi adalah mengikut standard atau kedudukan pelakon dalam industri kreatif.

“Pelakon dalam kalangan selebriti yang dibayar tinggi bukanlah bermaksud sengaja untuk membezakan mereka. Perkara ini lebih kepada soal populariti kerana mereka mampu menarik penonton.

“Kita faham mereka yang datang daripada industri teater mempunyai ilmu dan disiplin lakonan yang bagus.

“Namun, stesen penyiaran tidak peduli semua itu kerana mereka lebih menekankan aspek populariti seperti mempunyai jumlah pengikut yang ramai dalam media sosial,” katanya.

Erma berkata, sebelum penggambaran bermula, penyiar mahu tahu barisan pelakon. Malah, ada ketika, penyiar menentukan pelakon dalam sesebuah projek drama.

“Sebagai penerbit, apabila sesebuah drama atau filem membariskan ramai selebriti, sudah tentu bayaran untuk mereka lebih tinggi berbanding ‘budak’ teater yang belum ada nama.

“Formula itu memberi jaminan untuk mendapatkan rating tinggi,” katanya kepada BH Online.

Berpengalaman mementaskan beberapa projek teater, Erma yang terkenal dengan watak Mak Cun itu menjelaskan, agak sukar untuk memberi bayaran tinggi kepada pelakon teater kerana penerbit berdepan kesukaran mencari penaja.

“Cuba beritahu saya penerbit mana yang kaya apabila buat teater? Tidak banyak pihak yang sanggup hendak jadi penaja.

“Kebanyakan mereka buat teater adalah kerana minat dan atas dasar tanggungjawab untuk terus memartabatkan seni itu.

“Dengan bajet yang rendah, macam mana kita hendak bayar tinggi kepada pelakon?,” katanya.

Sehubungan itu, Erma menasihatkan kepada ‘adik-adik’ teater supaya mengikut arus dan berusaha mencipta populariti yang menjadi kehendak industri kreatif sekarang.

“Saya faham kebanyakan mereka yang datang daripada industri teater menolak budaya popular atau glamor. Mereka fokus kepada usaha mengetengahkan bakat.

“Cuba lihat bagaimana Sherry Alhadad menggunakan peluang yang ada. Dia berasal daripada seni teater, tetapi, bijak memasarkan diri hingga berada pada tahap sekarang.

“Saya percaya bayaran yang diterima ketika ini setimpal dengan usaha dilakukan,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *