BERITA UTAMA
Menteri guna jentera kerajaan kempen pilihan raya akan dikenakan tindakan disiplin

Menteri guna jentera kerajaan kempen pilihan raya akan dikenakan tindakan disiplin

KUALA LUMPUR – Tindakan disiplin akan diambil sekiranya terdapat bukti menteri atau agensi kerajaan menggunakan jentera kerajaan semasa kempen pilihan raya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan itu kerana ia adalah keputusan Jemaah Menteri supaya mana-mana menteri, penjawat awam mahupun agensi kerajaan untuk tidak menggunakan jentera kerajaan sebaik selepas hari penamaan calon.

“Ini kerana ada kaitan dengan prinsip yang kita bawa ini (membanteras rasuah), budaya rasuah yang kita tidak mahu diteruskan, tetapi kalau umpamanya penerusan projek sebelum (hari) penamaan calon (sesuatu pilihan raya) saya tidak fikir ia perlu dibangkitkan.

“Kalau ada pelanggaran ini tentunya Jemaah Menteri harus mengambil tindakan disiplin kerana melanggar keputusan Jemaah Menteri,” katanya dipetik Berita Harian ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang ingin tahu sama ada kerajaan bersedia menghentikan budaya seperti pelaksanaan pengumuman projek baharu di sesuatu kawasan yang terlibat pilihan raya.

Menjawab soalan asal Awang yang ingin tahu fokus kerajaan dalam usaha pencegahan rasuah, meningkatkan tatakelola dan integriti pentadbiran perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selaras Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028, Anwar berkata kerangka strategi itu dijangka dibentangkan di sidang Parlimen, esok.

“Ini (NACS 2024-2028) adalah satu kesinambungan yang lalu tetapi ia dimantapkan secara lebih spesifik mengenai apa-apa isu tentang dasar dan strategi pelaksanaan.

“Kita lihat umpamanya, masalahnya ialah penguatkuasaan, dan sebab itu dalam strategi NACS ditekankan lima strategi teras dan ada substrategi dan strategi penguatkuasaan termasuk pendidikan, kebertanggungjawaban awam, suara rakyat dan insentif untuk membanteras rasuah ini,” kata Anwar.

Mengenai soalan Awang berhubung pelaksanaan reformasi institusi agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat berfungsi secara telus dan bebas dari campur tangan eksekutif, Anwar berkata suruhanjaya itu akan dikekalkan sebagai badan pemantau bagi hal berkaitan rasuah dan salah laku dalam negara.

Selain itu, peranan sama akan dimainkan jawatankuasa sedia ada iaitu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang dianggotai Ahli Parlimen. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *