Siri Ke-9: Raja Abdullah tidak terfikir Puteri Saadong akan kembali ke pangkuannya

Siri Ke-9: Raja Abdullah tidak terfikir Puteri Saadong akan kembali ke pangkuannya

SEBENARNYA, Raja Abdullah tidak pernah terfikir isterinya, Puteri Saadong akan kembali. Bagi Puteri Saadong, bukan mudah untuk melepaskan diri daripada cengkaman Raja Siam. Raja Abdullah tidak berdaya untuk menyerang Raja Siam dan menyelamatkan isterinya. Raja Abdullah memikirkan jika dia berbuat demikian, segala usahanya akan sia-sia belaka.

Tambahan pula, masa telah terlalu lama berlalu. Baginya tidak mungkin Puteri Saadong akan dapat bertahan begitu lama. Namun, Raja Abdullah terlupa janji seorang isteri yang amat mencintainya, yang sanggup berbuat apa sahaja demi membuktikan cintanya yang tidak berbelah bahagi.

Bagaimanapun, dikatakan Raja Abdullah telah termakan hasutan Mayang Sari yang mengatakan Puteri Saadong sudah tidak suci dan kotor kerana telah menjadi gundik Raja Siam.

Dalam pertengkaran itu, Raja Abdullah telah memukul Puteri Saadong. Ini amat mengecewakan Puteri Saadong. Baginda telah dihina di hadapan Mayang Sari dan para pembesar istana. Maruahnya hancur berkecai. Air matanya berderai membasahi pipinya. Segala kasih sayang dan cintanya yang dipertahankan selama ini untuk suaminya, kini menjadi sia-sia belaka.

Raja Abdullah tidak memegang janjinya. Kesetiaannya amat rapuh sekali. Tanpa disedarinya, Puteri Saadong telah mencabut cucuk sanggulnya dan menikam Raja Abdullah. Semuanya terpaku dengan keadaan itu.

Raja Abdullah meninggal dunia di situ juga. Mayang Sari tidak dapat berbuat apa-apa. Dia tidak berani membantu Raja Abdullah. Dia melarikan diri dari istana kerana bimbang nasibnya di tangan Puteri Saadong. Raja Abdullah telah dimakamkan di Padang Halban, Melor yang terletak 17km dari bandar Kota Bharu.

Puteri Saadong berasa sedih dengan peristiwa itu, namun segalanya telah terjadi. Baginda kehilangan suami yang tidak setia kepadanya.

Segala didikan ibu angkatnya, Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II ternyata tidak dapat digunakan dengan sebaik-baiknya oleh Puteri Saadong dalam hal ini. Baginda gagal mengatasi kemarahan seorang wanita yang kecewa kerana dipermainkan oleh kaum lelaki yang tidak setia dan mudah memberikan kasih kepada wanita lain.

Baginda telah diajar ilmu agama yang cukup oleh ibu angkatnya, namun baginda tewas mengawal nafsu amarahnya sehingga suaminya terkorban. Oleh sebab kekesalannya yang tidak terhingga itu, Puteri Saadong telah turun dari takhta dan melantik Raja Abdul Rahim, saudara Raja Abdullah untuk menjadi pemerintah.

Puteri Saadong bersama dengan pengiringnya telah berpindah ke Bukit Marak. Bagaimanapun, Puteri Saadong tetap disayangi oleh rakyat jelata kerana kemurahan hatinya. Baginda sering menjadi tempat rakyat jelata meluahkan perasaan terhadap kezaliman yang dilakukan oleh Raja Abdul Rahim.

Akibatnya, Raja Abdul Rahim tidak disukai oleh rakyat kerana memerintah tidak mengikut ajaran agama Islam. Peristiwa itu membuatkan baginda sering berdukacita. Akhirnya pada tahun 1673, Puteri Saadong telah berpindah ke Gunung Ayam untuk mengasingkan diri.

Sejak itu, kisahnya tidak dapat dikesan lagi. Namun, ingatan kepadanya tetap ada. Lagu Main Puteri yang menjadi hiburannya pada waktu sunyi akhirnya menjadi mantera rakyat; lagunya menjadi satu cara perubatan tradisional yang digunakan untuk membuang penyakit yang disebabkan oleh alam misteri, ciptaan Allah SWT jua.

Lahirlah tok-tok pawang atau bomoh yang mewarisinya zaman berzaman sebagai satu kemahiran masyarakat berhubung dengan alam ghaib. Mantera ini menjadi satu cara perubatan lama yang sesuai dengan alam sekitarnya.

Pada hari ini, amalan ini makin dilupakan sebagai satu sistem perubatan; namun tetap kekal sebagai satu warisan budaya masyarakat Melayu, terutama di Kelantan.

Sultan Omar yang memerintah Kerajaan Jembal telah menghantar anaknya Raja Kecil Sulong untuk menyelesaikan masalah di Kota Mahligai itu. Seorang pengikut Raja Kecil Sulong berjaya menikam Raja Abdul Rahim di tepi Tasek Lelayang Mandi. Dengan itu putuslah sejarah kerajaan Kota Mahligai, yang pernah dipimpin oleh Raja Abdullah dan Puteri Saadong.

Seorang pengkaji telah cuba menganalisis aura Puteri Saadong dalam legenda negeri Kelantan. Secara umumnya, beliau melihat bahawa Puteri Saadong adalah satu legenda masyarakat Kelantan yang menegakkan maruah dan memperkasakan kuasa empowerment seorang wanita.

Kelantan memang terkenal sifat kaum wanitanya yang cantik, cekal, gigih berniaga dan boleh hidup tanpa bantuan kaum lelaki. Mereka boleh berdikari menentukan hala hidup sendiri. Mereka seolah mewarisi ataupun mempunyai nilai-nilai yang ada pada Puteri Saadong.

Semua pihak menggambarkan baginda sebagai seorang perempuan yang cantik jelita dan digilai oleh lelaki termasuk Raja Siam. Sifat mempertahankan kesucian dirinya atau kesetiaan cintanya kepada suaminya sangat jelas sekali. Namun, sebagai seorang wanita, kasih sayangnya tidak berbelah bahagi untuk suaminya.

Cintanya satu dan kesetiaannya ialah tuntas. Dia tidak boleh dikhianati dan dipermainkan. Itulah pegangan Puteri Saadong dan wanita Kelantan secara umumnya.

Dalam hal ini, menurut penganalisis itu, seolah Raja Abdullah telah dipersalahkan sepenuhnya. Katanya;

“Raja Abdullah diperlihatkan sebagai seorang yang bersalah kerana memungkiri janjinya. Meskipun Islam membenarkan seorang lelaki berpoligami, tetapi pada diri seorang wanita yang bernama isteri agak pahit untuk menerima hakikat itu.

Dalam cerita lisan Puteri Saadong itu, beliau diketengahkan sebagai seorang wanita yang bernama isteri. Beliau menuntut janjinya dan bayaran yang terpaksa dibayar oleh Raja Abdullah adalah terlalu mahal dan barangkali itulah harga yang sebenar bagi seorang wanita seperti Puteri Saadong”.

Kesimpulan

Puteri Saadong telah cuba untuk berlaku setia dan jujur kepada suaminya. Baginda juga menjadi pemerintah yang disenangi oleh rakyatnya. Baginda telah berkorban diri untuk menyelamatkan kerajaan dan rakyatnya. Didikan yang diterima daripada ibu angkatnya, Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II memang dilaluinya.

Harapan ibu angkatnya ialah supaya Puteri Saadong boleh menjadi pemimpin wanita yang bijaksana, di samping suaminya Raja Abdullah. Ternyata, harapan itu tidak dapat dipenuhinya. Emosi marah seorang isteri telah menguasai dirinya lebih daripada kebijaksanaannya mengawal kemarahannya.

Puteri Saadong tidak dapat mengawal kemarahannya kerana telah dikhianati oleh Raja Abdullah yang tidak berpegang pada janji. Puteri Saadong yang tetap berpegang pada kesetiaan dan cintanya kepada suaminya telah sanggup menolak kehidupan yang mewah, yang hendak diberikan Raja Siam.

Walaupun Puteri Saadong akur dengan strategi menyelamat rakyat dan negerinya, tetapi Raja Abdullah tunduk kepada pujuk rayu seorang wanita lain, iaitu Mayang Sari.

Sebenarnya Puteri Saadong mempunyai unsur-unsur positif bagi seorang wanita. Sifat-sifat Puteri Saadong yang terpuji seperti cantik, berani, gigih, bijaksana, setia dan sanggup berkorban untuk rakyat dan kerajaan adalah sangat penting sebagai seorang wanita dan pemimpin masyarakat dan negara.

Di sebalik kelembutan wajah dan tingkah lakunya sebagai seorang wanita dan isteri, Puteri Saadong boleh menjadi keras dan tegas serta bersedia berdepan dengan sebarang kemungkinan dan cabaran.

Baginda ialah wanita contoh dalam sejarah tamadun bangsa. Walaupun suaminya terkorban di tangannya sendiri, namun namanya tetap disebut sehingga kini. Masyarakat seolah boleh memaafkannya kerana wanita Kelantan menjadikan Puteri Saadong sebagai semangat dan ikon mereka sehingga kini.

Baginda ialah lambang kegigihan seorang wanita dalam menghadapi cabaran kehidupan yang fana ini. Ceritera wanita seperti ini, tanpa mengira zaman, tetap sama: dicintai dan dilukai hatinya, namun tetap setia, walaupun merana. Mereka tetap berusaha gigih dan terus hidup dengan membalut luka-luka semalam, seolah semuanya berjalan baik.

Namun, pada hakikatnya, di dalam dirinya membara satu tekad kental untuk terus hidup dan tersenyum kepada dunia. – NasionalDaily

BERSAMBUNG

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *