BERITA UTAMA
Polis buru individu pecah cermin 6 kereta di LRT Awan Besar

Polis buru individu pecah cermin 6 kereta di LRT Awan Besar

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan individu terlibat dalam perbuatan khianat memecahkan cermin enam kenderaan yang diletakkan di tepi jalan berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Awan Besar, Bukit Jalil, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh berkata, pihaknya menerima enam laporan berhubung kejadian tersebut pada 2 Julai lalu, lapor Kosmo!

“Hasil semakan mendapati kesemua enam kereta ini diparkir oleh pemilik kenderaan pada 1 Julai lalu bermula pukul 3 petang di tepi jalan kawasan LRT Awan Besar, Bukit Jalil.

“Beberapa bahagian cermin kereta telah dipecahkan oleh suspek yang masih bebas sebelum disedari oleh pemilik kenderaan pada keesokan hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung kejadian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999,” jelasnya.

Terdahulu, tular rakaman video memaparkan beberapa kereta telah dipecah masuk dipercayai berlaku di Stesen LRT Awan Besar, Bukit Jalil. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *