BERITA UTAMA
Misi kekal logo ‘bulan’ di Nenggiri, PAS Gua Musang serah nama calon

Misi kekal logo ‘bulan’ di Nenggiri, PAS Gua Musang serah nama calon

PETALING JAYA: PAS Gua Musang sudah menghantar tiga nama calon kepada pimpinan negeri untuk dipertimbangkan bagi PRK DUN Nenggiri 17 Ogos ini.

Yang Dipertua PAS Gua Musang, Azman Ahmad, berkata calon dikemukakan adalah anak tempatan dan kepimpinan PAS kawasan.

“Kita masih berharap calon kita diangkat, oleh kerana komen-komen di bawah, pengundi dah tak mahu bersama Bersatu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataannya sebelum ini yang berharap calon PAS diberi laluan bertanding PRK itu dengan alasan kebimbangan pengundi episod peralihan sokongan berulang jika wakil Bersatu diletakkan.

Azman mendakwa, tindakan penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim yang berpaling tadah selepas menang memberi kesan dalam kalangan pengundi di kerusi bawah Parlimen berkenaan.

Terdahulu, Ketua Bersatu Kelantan, Kamaruddin Md Nor, berkata pihaknya juga akan menyerahkan senarai tiga nama calon kepada pimpinan parti selewat-lewatnya akhir minggu depan.

Sementara itu, Azman berkata logo PAS lebih sesuai digunakan di Kelantan kerana rakyat lebih bersemangat ‘melihat lambang bulan’ berbanding Perikatan Nasional (PN).

“Jadi pada pendapat saya, menggunakan lambang bulan lebih tepat di Gua Musang sebab orang sini kalau dia tengok logo bulan, kalau dia tak semangat dia terus semangat.

“Tapi kalau orang kampung tengok logo PN, orang kampung tak ada semangat,” katanya.

Kelmarin, Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, berkata tiba masa lambang PN digunakan bermula PRK Nenggiri memandangkan rakyat sudah mengenali komponen gabungan itu.

Pada PRU lalu, PN yang menggunakan logo PAS menang di 43 kerusi DUN Kelantan manakala gabungan BN-PH memperoleh dua kerusi iaitu di Galas dan Kota Lama. – FMT

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *