BERITA UTAMA
AGC tidak beri jawapan representasi ketiga Rosmah untuk gugur pertuduhan

AGC tidak beri jawapan representasi ketiga Rosmah untuk gugur pertuduhan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak memberikan jawapan mengenai representasi ketiga yang dihantar Datin Seri Rosmah Mansor bagi menggugurkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM7 juta dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadapnya.

Peguam Rosmah, Amer Hamzah Arshad memaklumkan perkara itu di hadapan Hakim K. Muniandy ketika kes dibicarakan hari ini.

“Yang Arif, tiada jawapan daripada AGC mengenai surat representasi itu. Kami tidak mahu melengahkan perkara ini kerana ia sudah berlarutan. Kami memutuskan untuk meneruskan penghujahan (bagi menggugurkan pertuduhan),” kata peguam itu.

Untuk rekod ini adalah representasi ketiga dihantar Rosmah.

Representasi pertama dan kedua telah dikemukakan masing-masing pada 3 Mei dan 18 Ogos tahun lalu, namun masih belum diputuskan oleh AGC.

Rosmah, 72, turut memfailkan permohonan untuk dibebaskan dan dilepaskan daripada kesemua 17 pertuduhan pada 4 Oktober 2020.

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib tun Razak itu didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017, dan di Pejabat LHDN di Kompleks Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Sehingga kini dua saksi telah memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 24 Ogos lalu.

Dalam prosiding hari ini Amer Hamzah berhujah bahawa pertuduhan dihadapi Rosmah adalah tidak berasas, dan beliau menegaskan bahawa objektif sebarang pertuduhan adalah untuk memberi notis kepada tertuduh, tetapi pertuduhan yang dikenakan terhadap Rosmah tidak mempunyai butiran yang mencukupi.

“Cara beberapa pertuduhan dirangka, mereka tidak menunjukkan butir-butir yang diiktiraf dalam undang-undang. Butiran itu tidak dinyatakan dalam kesalahan itu dan ia adalah pertuduhan tidak berasas yang tidak diiktiraf dalam undang-undang.

“Daripada 17 pertuduhan yang dihadapi Rosmah, terdapat pertindihan, dia dituduh melakukan kesalahan yang sama dua kali.

“Apa yang cuba dilakukan oleh pihak pendakwaan ialah mewujudkan sebanyak mungkin pertuduhan sebagai set fakta yang sama. Itu tidak adil dan tidak mematuhi perlembagaan,” katanya.

Perbicaraan akan diteruskan pada 23 Ogos. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *