Dua gol Malen ceriakan Oranje

Dua gol Malen ceriakan Oranje

MUNICH – Belanda melangkah ke suku akhir Kejuaraan Eropah pertama mereka sejak 2008 apabila Donyell Malen menjaringkan dua gol ketika kemenangan 3-0 ke atas Romania pada pusingan 16 terakhir sebentar tadi.

Cody Gakpo memberikan Belanda gol pendahuluan tetapi mereka gagal mencari gol kedua sehinggalah penyerang Liverpool itu mengumpan kepada Malen dengan berbaki tujuh minit di Munich.

Romania bertahan dengan baik tetapi mereka tetap berjaya dikuasai lawan, kekurangan kualiti untuk menghukum lawan mereka sebelum Malen menambah gol keduanya pada masa kecederaan.

Kemenangan itu membantu Oranje layak ke suku akhir bertemu sama ada Turkiye atau Austria, yang menewaskan mereka 3-2 pada aksi peringkat kumpulan.

“Kami beraksi dengan baik. Saya amat gembira. Terutamanya selepas aksi terakhir kami memerlukan satu reaksi dan hari ini adalah satu langkah baik ke arah yang tepat,” kata Gakpo.

“Kami banyak bercakap mengenai agresif, intensiti dan bertahan sebagai satu pasukan. Ia satu tindakan yang bagus.

“Berkorban sesuatu demi antara satu sama lain dan bekerja keras untuk berada pada tahap terbaik anda. Permainan yang bagus secara keseluruhan.”

Anak buah Ronald Koeman perlu meningkatkan keberkesanan mereka di depan gol jika mereka mahu mengikut jejak langkah pengurus mereka, yang beraksi ketika Belanda menjuarai Euro 1988 di bumi Jerman.

Juara Kumpulan E, Romania, yang menang 3-0 ke atas Ukraine pada aksi pertama mereka juga kemenangan kedua mereka dalam sejarah Euro, berjaya mengancam Belanda pada awal aksi.

Belanda bagaimanapun memecah momentum Romania tidak lama kemudian apabila Gakpo menyudahkan satu gerakan menarik untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-20.

Jerdy Schouten membuat satu hantaran jauh ke tengah kepada pemain tengah Xavi Simons, yang menemui Gakpo berseorangan di sayap kiri.

Gakpo mengatasi Andrei Ratiu dan berjaya memperdaya penjaga gol Florin Nita dengan merembat masuk dari sudut sukar.

Belanda mensia-siakan peluang sempurna untuk menggandakan kelebihan mereka ketika babak pertama menuju penghujung apabila Denzel Dumfries memperdaya Bogdan Racovitan sebelum mengumpan kepada Simons, yang bagaimanapun gagal melakukan percubaan yang baik.

Anak buah Koeman melepaskan beberapa peluang lagi pada awal separuh masa kedua.

Memphis Depay dan Virgil van Dijk hampir menyumbat gol sebelum gol kedua Gakpo dibatalkan oleh VAR kerana ofsaid.

Dengan setiap peluang yang disia-siakan, kebimbangan dalam kem Belanda makin meningkat, tetapi Romania kekurangan kualiti untuk benar-benar menghukum mereka.

Gakpo, pemain paling menyerlah dalam jersi oren, menggelecek dalam kotak penalti yang sesak sebelum menemui Malen yang mudah menampan masuk tujuh minit sebelum wisel penamat.

“Kami bekerja keras antara satu sama lain untuk membuat yang terbaik dan saya gembira mampu mengumpan kepada Donnie bagi golnya hari ini,” kata Gakpo.

Dengan Romania melancar serangan terakhir, Malen berjaya melakukan serangan balas pantas dan merembat masuk pada minit ketiga masa kecederaan bagi memastikan kemenangan. – AFP

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *