BUKIT GANTANG – Enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyokong Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar surat penjelasan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhubung kedudukan mereka selepas digugurkan keahlian oleh parti.
Seorang daripada mereka yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, surat penjelasan itu dihantar bagi memudahkan Johari membuat keputusan ke atas kemelut yang berlaku.
Katanya, dalam surat itu, mereka menegaskan BERSATU telah mengeluarkan nama mereka daripada senarai keahlian parti berkenaan menyebabkan mereka menjadi anggota bebas di dalam Dewan Rakyat.
“Perkara ini (pengguguran ahli) tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan jika merujuk kepada Perkara 49A (1) Perlembagaan Persekutuan, dengan jelas menyatakan kerusi seseorang ahli Dewan Rakyat akan menjadi kosong sekiranya dia (ahli politik) telah dipilih melepaskan keanggotaan partinya atau tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut atau setelah dipilih ke Dewan Rakyat bukan sebagai satu parti politik dan menyertai satu parti politik yang lain sebagai ahli.
“Dalam Perlembagaan Persekutuan telah secara khusus merujuk kepada ketiga -tiga syarat yang telah dikatakan tadi dan ia tidak boleh dilakukan oleh mana-mana pihak ketiga,” katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang, di Kampung Benggali, di sini, hari ini.
Justeru, katanya, berdasarkan peruntukan itu, mereka berenam tidak melakukan apa-apa kesalahan yang melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan Yang Dipertua Dewan Rakyat mengisytiharkan kerusi mereka dikosongkan, lapor Berita Harian.
“BERSATU telah mengambil tindakan seolah untuk memerangkap kami kerana memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pindaan Perlembagaan yang telah dibuat oleh BERSATU adalah seolah sengaja dibuat untuk memecat keahlian saya dan rakan-rakan.
“Ia sama sekali tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan pindaan perlembagaan BERSATU tidak memberi sebarang kesan kepada kedudukan kami sebagai Ahli Dewan Rakyat.” katanya
Beliau berkata, akan mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang dan belum memutuskan menyertai mana-mana parti lain.
“Apa-apa pun semuanya terletak kepada kebijaksanaan Speaker untuk membuat keputusan sekiranya ‘rulling’ diadakan dalam masa yang terdekat.
“Saya sentiasa bersedia atas apa juga keputusan dan tetap akan mempertahankan kerusi ini walaupun diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK),” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan berlaku PRK di kawasannya, beliau menegaskan perkara itu membuang masa dan menyusahkan rakyat.
Tambahnya, jika berlaku sekali pun dan ditakdirkan pembangkang menang ia tetap tidak merubah kerajaan sedia ada. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252