BERITA UTAMA
Noor Farida bekas duta besar ke Belanda cukup dikenali ketokohannya

Noor Farida bekas duta besar ke Belanda cukup dikenali ketokohannya

KUALA LUMPUR – Bekas Duta Besar Malaysia ke Belanda Datuk Noor Farida Ariffin yang meninggal dunia semalam pada usia 76 tahun, merupakan tokoh cukup dikenali dalam sistem perundangan serta kehakiman negara, dan pernah mewakili Malaysia dalam tiga kapasiti berasingan pada kemuncak kerjayanya.

Tokoh kelahiran Perak yang dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Belanda dari 2000 hingga 2007 itu pernah dilantik sebagai Ejen Bersama Malaysia bagi kes Pulau Ligitan, Pulau Sipadan dan Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di Hague.

Di samping itu arwah juga pernah dilantik sebagai wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW), yang berpangkalan di The Hague.

Noor Farida yang menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kuala Lumpur di sini mengharungi laluan kerjaya yang cukup cemerlang sepanjang kariernya selama 36 tahun dalam Perkhidmatan Awam, sebelum bersara pada 2012.

Arwah yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Perempuan Methodist dan Sekolah Menengah King Edward VII di Taiping, Perak, menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sebagai Pegawai Undang-undang di Pejabat Peguam Negara pada 1971.

Allahyarhamah Noor Farida menamatkan pengajiannya dalam bidang undang-undang di Inns of Court di London dan berkhidmat dalam pelbagai jawatan termasuk sebagai majistret, penolong kanan pendaftar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dalam tempoh 1972 hingga 1976.

Allahyarhamah dilantik sebagai Pengarah Biro Bantuan Guaman dari 1980 hingga 1983 dan dipinjamkan ke jawatan Pengarah Program Wanita dan Pembangunan selama dua penggal (1988).

Kemudiannya allahyarhamah menyandang jawatan Ketua Bahagian Perundangan, Kementerian Luar Negeri pada tahun 1993, Timbalan Ketua Bahagian Penasihat dan Undang-undang Antarabangsa, Jabatan Peguam Negara (1994) dan Setiausaha Bahagian Isu Tuntutan Maritim dan Wilayah, Kementerian Luar Negeri (1996-2000).

Dari 2007 hingga 2012 Allahyarhamah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penyelidikan, Perjanjian dan Undang-undang Antarabangsa di Kementerian Luar Negeri.

Allahyarhamah juga terlibat secara aktif dalam organisasi wanita, memegang beberapa jawatan penting seperti Ahli Pengasas Persatuan Peguam Wanita (1972), Pengasas Bersama Pertubuhan Pertolongan Wanita (1981) dan Presiden Persatuan Peguam Wanita (1982-1988).

Noor Farida yang merupakan ahli kumpulan bekas penjawat awam kanan G25 dan bekas Pengerusi Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) pernah menerima Piala Sri Nona – Sistem Televisyen Malaysia Bhd – pada tahun 1995, atas usaha beliau meningkatkan status wanita dalam negara. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *