Bab 3
Adruja Wijayamala Singha/Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I, telah ditabalkan sebagai pemerintah di bahagian Kelantan Barat. Kerajaannya berpusat di Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga atau Kisaran Payung. Kerajaan ini terletak di Kuala Krai, di Selatan Kelantan.
Pasukan khas Seri Wijayamala turut tinggal bersamanya. Dalam tempoh yang singkat, Serendah Sekebun Bunga telah berubah menjadi sebuah negeri yang sungguh indah dengan taman-taman bunganya yang berseri. Adruja dikatakan memerintah pada tahun 1310-1345. Ada sumber mengatakan pada tahun 1318-1348. Kesultanan ini dikatakan berpusat di Kuala Krai, yang terletak di bahagian selatan Kelantan. Ada yang memanggilnya sebagai kerajaan Kesultanan Kelantan Selatan.
Adruja Wijayamala Singha/Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I, merupakan satu-satunya puteri dan raja perempuan di Kepulauan Melayu. Baginda merupakan seorang ratu dara (the virgin queen) kerana baginda tidak pernah berkahwin seumur hidupnya.
Ini bermakna baginda tidak mempunyai waris keturunan. Oleh sebab itulah, Raja Bharubhasa, iaitu saudara kandung baginda yang juga merupakan Raja Langkasuka telah bertindak mengambil alih negeri tersebut, selepas kehilangan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang membawa diri.
Menurut tulisan Rogayah A. Hamid dan Mariyam Salim (2006) bertajuk Kesultanan Melayu Kelantan, pemerintahan Cik Siti Wan Kembang mula wujud sekitar lewat tahun 1309. Pada awal pemerintahannya, baginda dikenali sebagai Udruja Wijayamala Singha atau Sri Dewi Urduja atau Sri Udruja Mahasimla Gemercheh Sang Kali Tunggal, kerana baginda beragama Hindu-Buddha.
Baginda telah mendirikan sebuah kota di Gunung Cinta Wangsa di tenggara Kuala Krai. Lokasinya bersebelahan dengan Terengganu, membuatkan kesan kawasan pusat pemerintahan ini sukar dijejaki.
Catatan Ibn Battutah
Ibn Battutah (1304-1369) atau nama sebenarnya Muhammad bin Abdullah bin Muhammad Al-Lawati Al-Tanji, juga digelar sebagai As-Sham Ad-Din, merupakan seorang pengembara Islam yang berasal dari Maghribi.
Ibn Battutah merupakan pelopor pengembaraan yang menghasilkan buku karangan mengenai benua Asia dan Afrika berdasarkan pengalaman perjalanan sendiri antaranya termasuk Rihlah Ibn Battuttah. Beliau antara pengembara dunia yang tersohor, di samping Marco Polo dan beberapa pengembara Cina yang lain.
Dalam pengembaraannya di kawasan sebelah sini, iaitu di bahagian timur sebelum tiba ke China, beliau telah singgah di sebuah kawasan bernama Tawalisi. Penduduk kawasan ini masih menyembah berhala dan mereka mempunyai wajah yang cantik seperti orang Turki.
Rombongan kapalnya singgah pula di sebuah pelabuhan bernama Kilukri, yang merupakan bandar terbesar dan tercantik di kawasan itu. Ketuanya ialah seorang raja perempuan bernama Urduja (Adruja). Menurutnya lagi, pemerintahannya ialah seorang wanita yang jelita, tetapi sangat gagah perkasa. Dia tangkas menunggang kuda dan sangat pandai memanah. Baginda juga pandai menulis tulisan Arab dan boleh bertutur dalam bahasa Turki. Raja perempuan itu telah menjamu semua saudagar yang melawatnya.
Pada hari kedua Ibn Battutah berada di Pelabuhan Kilukri, Adruja telah menjemput nakhoda kapal, saudagar-saudagar, pembesar-pembesar, panglima tentera dan kumpulan pemanah ke jamuan diraja. Nakhoda kapal itu telah meminta semua mereka yang berada di kapal itu hadir ke majlis tersebut, tetapi Ibn Battutah enggan pergi.
Dia memberikan alasan bahawa dia tidak memakan makanan orang kafir (tidak halal). Adruja telah bertanya kepada nakhoda itu, adakah sesiapa yang tidak hadir? Nakhoda lalu memaklumkan bahawa ada seorang lelaki bakhsyi (kadi) di kapalnya yang tidak hadir kerana tidak makan makanan penduduk di sini. Adruja lantas memerintahkan supaya orang itu datang mengadapnya.
Pengawal Adruja dan rakan nakhoda pergi memanggil Ibn Battuttah. Dia terpaksa menerima jemputan Adruja, pemerintah kerajaan tersebut. Setibanya di istana, ternyata majlis yang meraikan para pelawat negeri tersebut sangat meriah.
Sewaktu dia mengadap Adruja, terdapat ramai wanita yang memegang tali kekang yang direntang di hadapannya, untuk memisahkan Adruja dan mereka yang menghadapnya. Di sekeliling baginda pula ialah wazir-wazir yang terdiri dari kaum wanita yang duduk di atas kerusi yang diperbuat dari kayu cendana.
Seterusnya di hadapan Puteri Adruja ialah kaum lelaki. Tempat duduk Puteri Adruja dialas dengan sutera dan di atasnya digantungkan tirai juga daripada sutera. Sementara kayu singgahsananya pula diperbuat daripada kepingan emas menghiasi singgahsana itu.
Adruja dikatakan telah bertutur dalam bahasa Turki. Ketika Ibn Battutah mengucapkan salam, baginda bertitah, “Hasan misan yakhsya misan” (Apa khabar dan bagaimanakah keadaan kamu?). Adruja juga boleh bertutur dan menulis tulisan Arab.
Menurut Ibn Battutah juga, Adruja mempunyai pengikut wanita yang menjadi khadam dan jariah yang berperang seperti lelaki. Ibn Battutah menyebut Adruja sebagai Urduja kerana terkenangkan seorang daripada isteri Sultan Muhammad Uzbeg Khan di Turkistan, iaitu Khatun, yang sangat cantik, amat mesra dan terbaik antara banyak puteri yang ditemuinya dalam pengembaraannya itu.
Adruja Wijayamala Singha/Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I di ambang perkahwinan
Seperti wanita yang lain, Adruja tetap berminat untuk mencari seorang lelaki sebagai teman hidupnya. Baginda telah mengarahkan Tun Perpatih Gina (Patih Jina), seorang yang sangat pandai melukis supaya menjelajah ke segenap negeri bagi melukis potret putera-putera raja untuk dipersembahkan kepadanya.
Patih Jina telah melukis wajah 100 orang putera raja. Antaranya termasuklah seorang putera Raja Samudera yang sangat tampan dan segak. Putera itu juga menguasai ilmu makrifat yang hebat. Putera raja itu bernama Abdul Jalil Putera Al-Malikuz-Tahir.
Adruja telah jatuh cinta dengan Raja Muda Samudera itu. Namun begitu, perkahwinan itu tidak terlaksana kerana Adruja lebih mementingkan perjuangannya. Baginda telah terlibat dalam beberapa peperangan di Campa, Kemboja dan Samudera antara tahun 1319-1342, seperti yang dicatatkan oleh buku sejarah yang dipetik daripada The Kingdom’s of Bharbussa in Cintawangsa, from Itchy Museum, United Kingdom. Akhirnya, niatnya itu terbatal begitu sahaja.
Adruja turut dikaitkan dengan Megat Segembang yang merupakan putera raja ke-10 pemerintahan Kerajaan Nenggiri, Ulu Kelantan. Sejak kecik Megat Segembang telah didedahkan dengan ilmu persilatan dan kebatinan oleh ayahandanya. Megat Segembang telah ditunangkan dengan Adruja.
Bagaimanapun, Megat Segembang pula telah menangguhkan perkahwinan itu dengan alasan mahu mengembara dan belayar keluar negeri mencari pengalaman hidup. Sementara itu, Megat Panji Alam (Shamsul Alam) dari kerajaan Bukit Bintang, Terengganu berkenan untuk memperisterikan Paduka Cik Siti Wan Kembang I.
Ketika itu, pemerintahannya berpusat di Gunung Cinta Wangsa. Bagaimanapun, lamaran itu telah ditolak dengan alasan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I, telah bertunang dengan Megat Segembang. Akibat malu dan kecewa, Megat Panji Alam telah menyerang kerajaan Gunung Cinta Wangsa. Setelah berperang selama tujuh hari tujuh malam, Megat Panji Alam masih gagal untuk menewaskan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I.
Baginda dikatakan terlalu gagah dan mempunyai ilmu kesaktian. Akhirnya Megat Panji Alam telah memerangkap Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I dengan menggunakan jaring. Puteri telah dibawa balik ke kerajaan Bukit Bintang lalu dikurung dan diseksa bertahun-tahun lamanya.
Megat Segembang yang kembali dari perantauan terkejut dengan nasib tunangnya itu. Baginda terus mengumpul para pengikutnya untuk menyerang kerajaan Bukit Bintang dan menyelamatkan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang. Bagaimanapun, kerajaan Megat Panji Alam sukar untuk ditewaskan.
Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I dan Megat Segembang terpaksa berundur di kawasan pantai. Pada ketika itu, datang seorang pedagang Arab naik ke darat untuk mengambil bekalan air dan makanan. Dia berasa simpati dengan pasukan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I dan tunangnya itu. Dia dan orang-orangnya telah membantu mereka. Akhirnya Megat Panji Alam berjaya ditewaskan.
Gelaran “Paduka Cik Siti”
Sekembalinya Adruja ke kerajaan Kuala Krai, ayahandanya telah melantik baginda memangku kerajaan tersebut. Setelah bertahun memerintah, pedagang Arab yang membantu Adruja datang ke Pelabuhan Kuala Krai (Kiri).
Adruja Wijayamala Singha merupakan tokoh pertama yang menggunakan gelaran “Cik Siti Wan Kembang”. Menurut sejarah, Ibn Battutah yang memberikan gelaran “Siti” atau “Paduka Cik Siti” kepada Raja Perempuan Serendah Sekebun Bunga itu.
Semasa mendarat di Kuala Krai, Ibn Battutah bertanya kepada masyarakat setempat akan gerangan pemerintah negeri tersebut. Negara ini siapa yang jadi raja. Jawab mereka, negeri ini diperintah oleh seorang Raja Perempuan. Semasa mengadap Puteri Adruja, Ibn Battutah membahasakan baginda dengan panggilan “Siti” dan telah didengar oleh beberapa orang yang berada di balai penghadapan.
Lalu seorang dari mereka yang hadir di situ bertanya apakah erti “Siti” itu. Kata Ibn Battutah, “Siti” ialah gelaran bagi seorang perempuan yang menjadi tuan atau ketua orang ramai. Baginda lalu digelar dengan panggilan “Paduka Cik Siti”. Tidak berapa lama kemudian megahlah panggilan “Cik Siti Wan Kembang” di merata-rata daerah terutama di sebelah hiliran negeri itu.
Ini kerana kapal dagangan orang Arab itu sentiasa singgah di pangkalan-pangkalan yang terdapat di sepanjang hilir sungai untuk berdagang dan mengambil bekalan makanan dan air bersih. Mereka sering menyebut negeri “Cik Siti” ini sangat bagus dan makmur. Negeri itu menjadi terkenal dengan cara ini.
Gelaran tersebut telah digunakan semula oleh Paduka Raja Cik Wan Kembang II (1610-1667), seorang keturunan Raja Bharubhasa (Sultan Mahmud Syah) iaitu saudara kandung Arduja. Tokoh yang bernama Cik Wan Kembang ini telah dikenal pasti sebagai “Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II” oleh golongan sarjana dan sejarawan Kelantan dan tempatan. – NasionalDaily
BERSAMBUNG