Oleh Abd Ghaffar Daud
KEJOHANAN Sukan Zon Rantau Panjang (Kelantan) semalam, menyaksikan Maahad Muhammadi Rantau Panjang (MMRP) berjaya merangkul empat kejuaraan bagi beberapa kategori yang dipertandingkan.
Sebanyak empat kumpulan melibatkan sembilan sekolah dalam zon Rantau Panjang menyertai kejohanan yang diadakan sebagai acara tahunan itu.
Peserta yang mewakili sekolah menunjukkan stamina dan semangat masing-masing bagi memenangi setiap acara disertai dan menjulang nama sekolah ke peringkat negeri.
Bagi kumpulan mewakili MMRP, antara kejuaraan yang dinobat mereka ialah dalam perlawanan sepak takraw, badminton, ping pong dan bola tampar.
Atas kemenangan bagi empat acara itu, MMRP dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam kejohanan peringkat zon tersebut yang majlis perasmian penutup disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan, sukan merupakan satu bidang penting untuk seseorang pelajar diterima masuk ke universiti dengan markah bonus sebanyak 10 peratus.
“Saya harap pelajar sentiasa mengikuti kegiatan kokurikulum (sukan) ini, di samping jangan sekali-kali mengabaikan akademik yang menjadi tiket untuk kita menyambung pengajian ke menara gading,” katanya.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada peserta yang mengambil bahagian dalam kejohanan itu, kerana penglibatan mereka termasuk guru dan pentadbir dapat mengeratkan silaturahim.
Sementara itu, Guru Setiausaha Kokurikulum, Awang Isa Ismail berkata, pasukan yang mendapat tempat pertama akan mara ke peringkat negeri tidak lama lagi dan kejayaan itu seterusnya akan membawa ke peringkat kebangsaan. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252