BERITA UTAMA
Mohd Azizi Abu Naim

Azizi gagal hentikan PRK DUN Nenggiri

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim gagal untuk menghentikan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, menolak permohonan injunksi sementara dalam saman pemula yang difailkan, Isnin lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain memutuskan bahawa, Ahli Parlimen Gua Musang ini tidak berdepan kesulitan jika PRK dijalankan semula.

Beliau berkata, ini kerana ahli politik terbabit masih berpeluang untuk menjadi calon dalam pilihan raya terbabit.

Ketika prosiding yang dibuat secara tertutup, Pesuruhjaya Kehakiman itu berkata, injunksi sementara tidak boleh menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada menjalankan tugas mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan Mohd Azizi membayar kos RM7,000 bagi setiap defendan.

Pada 24 Jun lalu, Mohd Azizi mengemukakan saman pemula bagi menghentikan SPR daripada mengadakan pilihan raya di kawasan DUN berkenaan.

Mohd Azizi yang juga bekas Ketua Bahagian Bersatu Gua Musang, memfailkan saman itu melalui Tetuan Shankar Govinth, dengan memohon perisytiharan bahawa DUN itu tidak kosong maka PRK bagi kerusi terbabit tidak boleh dijalankan.

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa pemecatan jawatan dan keahliannya dalam Bersatu melalui notis bertarikh 12 Jun lalu adalah tindakan yang tidak sah.

Mohd Azizi selaku plaintif, menamakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah dan SPR selaku defendan.

Mohd Azizi turut memohon perisytiharan bahawa surat makluman daripada Mohd Amar kepada SPR bahawa kerusi DUN Nenggiri kosong, digantung pelaksanaannya.

Plaintif juga memohon perisytiharan bahawa surat makluman itu adalah tidak sah dan batal, dan pemecatan jawatannya daripada parti adalah berniat jahat.

Dalam tuntutan itu, Mohd Azizi menegaskan bahawa pindaan kepada Fasal 10 Perlembagaan Bersatu yang menetapkan keahlian seseorang akan dihentikan jika menyokong saingan politik, adalah tidak berperlembagaan.

Media sebelum ini melaporkan, Mohd Amar mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang ADUN dan Bersatu mengenai keahlian Mohd Azizi yang hilang daripada parti.

Susulan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK DUN Nenggiri pada 28 Jun ini bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya berkenaan.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, peguam, Chetan Jethwani mewakili Bersatu selaku defendan berkata, permohonan injunksi penuh akan didengar pada 28 Ogos depan.

Susulan keputusan terbabit, beliau berkata, SPR boleh mengadakan Mesyuarat Khas PRK DUN, yang dijadualkan pada Jumaat.

Dalam prosiding ini, Mohd Azizi diwakili peguam, Datuk Rajan Ravaratnam manakala SPR diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *