BERITA UTAMA
Keadaan Exco Pelancongan Perlis bertambah baik, kini ditempatkan di wad biasa

Keadaan Exco Pelancongan Perlis bertambah baik, kini ditempatkan di wad biasa

KANGAR – Keadaan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis Wan Badariah Wan Saad kini semakin bertambah baik.

Beliau telah ditempatkan ke wad biasa selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF) pada 14 Mei lalu.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer dari Pas itu akan diberikan rehat dalam tempoh tertentu selepas dibenarkan keluar hospital nanti, sebelum kembali bertugas seperti sedia kala.

“Kena berehat dulu…tidak ada gangguan (pada Tahun Melawat Perlis 2024-2025) sebab Wan Zikri (Afthar Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan Perlis) ambil alih, sebab nak bagi peluang Wan Badariah ini rehat dan pegawai kerajaan turun melaksanakan apa yang kita rancang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Nuraleya Syazreena Roslan Anuar, 18, yang cedera parah selepas motosikal dinaiki bersama suaminya dihempap pokok tumbang di Jalan Kampung Padang Benta, Simpang Empat dekat sini awal pagi semalam, di HTF hari ini.

Bernama semalam melaporkan akibat kejadian yang berlaku kira-kira 3 pagi itu, Nuraleya Syazreena, mengalami pendarahan dalam kepala serta patah tulang pinggang kiri dan kanan, manakala bayi dalam kandungannya berusia lima bulan meninggal dunia, sementara suaminya patah tulang paha kanan.

Ditanya sama ada jawatan Exco itu akan disandang ADUN lain, Mohd Shukri berkata, pihaknya perlu melihat perkembangan keadaan dan kemampuan ADUN Mata Ayer itu dari semasa ke semasa terlebih dahulu dan tidak boleh membuat keputusan tergesa-gesa.

Mohd Shukri berkata portfolio Wan Badariah, 47, pada masa ini dipangku Wan Zikri dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Perlis Megat Hashirat Hassan.

Pada 15 Mei, Bernama melaporkan Wan Badariah mendapatkan rawatan dan ditidurkan pada petang 14 Mei di ICU, HTF dan Menteri Besar Perlis dilaporkan sebagai berkata beliau ditidurkan selepas mengalami komplikasi jantung dan paru-paru.

Dalam pada itu, Mohd Shukri memberitahu pokok-pokok di tepi jalan di sepanjang jalan Tambun Tulang dan Simpang Empat itu yang dinilai membahayakan keselamatan orang ramai telah ditanda untuk dibuang.

“…memang banyak pangkah warna merah itu kan, jadi saya ingat kepada Pencinta Alam ini kena fahamlah, buang pokok itu bukan nak mengurangkan kehijauan itu, tetapi disebabkan keadaan bahaya kepada keselamatan…jadi, kita tengok bila berlaku peristiwa ini ada pokok-pokok yang sepatutnya dibuang, struktur tak kukuh,” katanya.

Mengenai keadaan terkini Nuraleya Syazreena itu, Menteri Besar Perlis berkata mangsa sedang ditidurkan dan dirawat di ICU hospital berkenaan. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *