BERITA UTAMA
PRK Sungai Bakap: Kemeriahan suasana pilihan raya mula dirasai

PRK Sungai Bakap: Kemeriahan suasana pilihan raya mula dirasai

NIBONG TEBAL – Kemeriahan suasana pilihan raya mula dirasai di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap apabila jentera kedua-dua parti bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu giat menggerakkan kempen termasuk memasang bendera, poster dan gegantung calon.

Perang bendera antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mula kelihatan apabila sesetengah kawasan dipenuhi dengan bendera parti berwarna merah yang mewakili PH dan biru untuk PN.

Tinjauan Bernama di kawasan Sungai Kechil dan Sungai Duri serta sekitarnya didapati meriah dengan bendera PH, poster wajah calon Kerajaan Perpaduan iaitu Dr Joohari Ariffin terutamanya ‘billboard’ dan gegantung di beberapa lokasi seperti di persimpangan jalan dan bilik gerakan parti.

Sudah pasti tugas itu disempurnakan oleh penyokong dan jentera parti atau dikenali ‘geng tukang pasang bendera’ yang menjadi antara tulang belakang dalam menggerakkan kempen calon yang bertanding.

Seorang jentera PH yang terlibat dengan pemasangan bendera, Ahmad Norbi, 73, ketika ditemui berkata pasukan mereka telah diberi taklimat dan akan memastikan ia tidak mendatangkan sebarang kemudaratan serta mengganggu keselamatan pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal.

Dalam pada itu, markas dan bilik gerakan PH mahupun PN juga kelihatan meriah dengan kehadiran jentera pilihan raya yang datang daripada segenap pelusuk negeri bagi membantu jentera tempatan berkempen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula Sabtu hingga 11.59 malam, 5 Julai.

Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail sebagai calon PN dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap, 6 Julai ini.

Kerusi DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Sungai Bakap ialah satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *