KUALA LUMPUR – Seorang individu mendakwa wakil penganjur Konsert Hitman Return David Foster & Friends Live in Indonesia yang berlangsung pada 15 Jun lalu, muncul memperjelaskan mengenai isu penarikan diri penyanyi antarabangsa, Jessie J pada saat akhir.
Menurut wakil penganjur yang dikenali sebagai Cynthia Tan, pada awalnya Jessie J sekeluarga telah ditawarkan dan bersetuju menyambung percutian di Indonesia oleh pihak penganjur disebabkan tarikh konsert yang semakin dekat.
Bagaimanapun, difahamkan pada 9 Jun lalu, pihaknya menerima khabar duka apabila penyanyi tersebut terpaksa pulang semula ke United Kingdom (UK) atas alasan masalah kesihatan mental biarpun beberapa kali cubaan memujuk artis tersebut tidak membuahkan hasil.
“Pada 1 Jun, Jessie J sekeluarga bersama pengurus dan ‘stylish’ datang ke Indonesia kerana ada persembahan ‘private’ di sebuah majlis yang berlangsung pada 2 Jun. Jadi kami mengetahui mengenai hal itu, kami menawarkan percutian kepadanya supaya tidak perlu pulang ke UK memandangkan konsert David Foster akan berlangsung pada 15 Jun.
“Pihak Jessie J bersetuju dan terima tawaran percutian yang diberikan oleh kami. Tetapi apa yang mengejutkan secara tiba-tiba pada 9 Jun, kami terima email daripada pihak Jessie J mengatakan mereka mahu pulang ke UK dengan alasan dia ada ‘mental health’.
“Kami sudah berusaha pelbagai cara dan pujuk pihak Jessie J, namun mereka tetap mahu pulang tanpa alasan yang jelas. Lebih mengejutkan lagi, ada mengatakan Jessie J ini memang suka batal persembahan pada saat akhir,” ujarnya yang dipetik UtusanTV.
Dalam masa sama, dia turut meluahkan rasa kecewa atas tindakan pelantun lagu Domino itu kerana pembayaran penuh kepadanya telah dilunaskan sebelum konsert tersebut berlangsung.
“Pihak konsert sudah membuat pembayaran penuh kepada Jessie J. Jadi, isu bayaran tidak wujud. Malah dia juga sudah membuat promosi konsert. Jadi, bukan kalian (peminat) yang kecewa, pihak kami juga sangat kecewa,” ujarnya lagi.
Susulan kejadian itu, pihaknya memutuskan untuk menggantikannya dengan penyanyi ikonik Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza agar konsert ini dapat berlangsung dengan sempurna.
“Pihak promoter sangat binggung termasuk saya tidak dapat tidur. Jadi, supaya peminat tidak berasa kecewa dengan waktu yang agak suntuk. Akhirnya digantikan dengan penyanyi Malaysia, Siti Nurhaliza.
“Jujur, Siti Nurhaliza sangat ikonik dan dia juga memiliki suara yang sangat bagus. Jadi itulah keputusan,” jelasnya.
Sebelum ini, Siti Nurhaliza menerima kritikan hebat apabila tampil menerima undangan untuk menyanyikan lagu bersama David Foster di Jakarta dalam konsert Hitman Return David Foster & Friends, Sabtu lalu.
Namun, peminat di sana melihat penyanyi terkenal itu sebagai penyelamat konsert tersebut dengan menggantikan Jessie J yang menarik diri pada saat akhir. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252