KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan masih banyak lagi barangan lain yang mengalami kenaikan harga selain telur.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, hal itu berlaku tatkala Kerajaan Madani melakukan langkah penyasaran subsidi diesel yang memberi impak besar kepada rakyat.
Antaranya, menurut beliau adalah kenaikan caj perkhidmatan seperti tambang bas sekolah.
“Terima kasih lah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengumumkan penurunan harga telur sebanyak 3 sen.
“Katanya ini sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi diesel kepada rakyat.
“Cuma yang naik harga selepas penarikan balik subsidi diesel bukan telur sahaja.
“Banyak lagi barang dan perkhidmatan yang naik harga. Ini termasuk tambang bas sekolah,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Mengulas lanjut, Muhyiddin menjangkakan Perdana Menteri akan mengumumkan satu mekanisme komprehensif untuk menurunkan harga barang.
Muhyiddin berkata, antaranya adalah kemungkinan satu pakej ekonomi dan bantuan rakyat bernilai RM4 bilion yang bersamaan dengan jumlah penjimatan perbelanjaan kerajaan hasil penyasaran subsidi.
“Namun yang diumumkan hanyalah penurunan harga telur yang melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM100 juta sahaja.
“Jangkaan saya meleset,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252