BERITA UTAMA

Faisal tak mahu hidup dalam ketakutan, rela hilang pendapatan

SHAH ALAM – Faisal Halim yang dibenarkan keluar hospital selepas selesai dirawat akibat disimbah asid, tampil dalam sidang medianya petang ini.

Dengan perasaan pilu dan sedih, beliau menyatakan lebih rela hilang pendapatan puluhan ribu ringgit sebulan, asalkan dia dan ahli keluarganya berada dalam keadaan selamat.

Tonggak utama pasukan bola sepak Selangor FC itu berkata, apa yang bermain dalam fikirannya selepas insiden ngeri itu ialah mahu pulang ke kampung menjalani kehidupan baharu dengan tenang.

“Saya beritahu isteri, keluarga dan abang saya, saya tak kisah hilang gaji RM50,000 dan nak balik kampung. Saya hanya mahu hidup tenang, saya boleh ambil gaji RM50 sehari janji keluarga saya selamat, saya tak nak hidup dalam ketakutan.

“Apa yang berlaku ini di luar jangkaan, saya tak boleh terima keluarga saya dalam ketakutan,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri pengurusan Selangor FC.

Menurut Faisal, apa yang diutamakannya ketika ini ialah keselamatan anaknya memandangkan hubungan yang sangat rapat.

“Bukan perkara mudah kasih sayang seorang ayah dan tak dapat peluk anaknya dalam empat lima hari.

“Saya juga belum dapat tidur dengan dia lagi. Anak adalah semangat dan kekuatan saya. Apa jadi saya terima dengan reda dan hati terbuka. Saya harap dapat kembali memberikan hadiah untuk anak saya,” katanya.

Katanya lagi, beliau tidak tahu sama ada mampu untuk kembali bermain bola sepak selepas menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu.

Faisal juga mengharapkan semua pihak mendoakannya untuk kembali pulih seperti sebelum ini dan kembali bermain semula. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *