BERITA UTAMA
Tahan peguam, tidak timbul isu ganggu hak awam dapatkan wakil perundangan - SPRM

Tahan peguam, tidak timbul isu ganggu hak awam dapatkan wakil perundangan – SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan tohmahan yang dilemparkan oleh peguam-peguam dalam sidang media anjuran Lawyers of Liberty (LFL) berkaitan siasatan kes penyelewengan kutipan dana sebuah Perbadanan Pengurusan Bersama (JMC).

SPRM juga dalam satu kenyataan berkata, tidak timbul isu pihak penguat kuasa campur tangan atau berniat menghalang hak awam untuk mendapatkan perwakilan undang-undang seperti didakwa LFL.

“Berhubung kes berkenaan, SPRM telah menerima aduan sekitar hujung Mei lalu daripada penduduk di sebuah kawasan di Damansara bahawa dana kutipan pengurusan dan penyelenggaraan oleh pihak JMC itu dipercayai telah diseleweng.

“Hasil siasatan awal mendapati ada asas disyaki berlakunya perkara tersebut berdasarkan laporan berkaitan kos guaman oleh pihak JMC yang tidak diisytiharkan sepenuhnya.

“Sehubungan itu, SPRM telah melancarkan operasi pada 4 Jun lalu, yang mana pihak disyaki terlibat telah ditahan dan direman bagi maksud siasatan kerana dia merupakan antara suspek utama,” jelas SPRM menerusi laporan AWANI.

Menurut SPRM, fokus siasatan adalah di bawah Akta SPRM 2009 serta pecah amanah, bukannya untuk mendapatkan maklumat daripada anak guam.

SPRM juga berpandangan tohmahan yang dilemparkan oleh pihak yang sedang disiasat adalah tidak berasas dan seolah bertujuan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

Kedua-dua peguam iaitu Lai Chee Hoe dan Irwin Lo dalam sidang media anjuran LFL pada Selasa mendakwa mereka disiasat atas kapasiti sebagai peguam jawatankuasa pengurusan bangunan dalam kes pengurusan strata.

Lai berkata, dia direman SPRM selama tiga hari bermula 6 Jun lalu.

Dia mendakwa pegawai penyiasat SPRM memaklumkan mereka sedang menjalankan siasatan ke atas ahli jawatankuasa pengurusan itu dan dia ditahan kerana mewakili jawatankuasa terbabit dalam saman sivilnya.

Susulan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dua peguam terbabit yang dikatakannya memfitnah agensi antirasuah itu dalam sidang media.

Azam mengesahkan Lai ditahan dan direman sebagai sebahagian siasatan kes itu, manakala keterangan Lo diambil untuk membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan mereka ke atas akaun pengurusan dan penyelenggaraan yang diselenggara jawatankuasa itu serta tiada kaitan dengan kapasiti dua peguam terbabit bagi mana-mana anak guam. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *