BANGI – Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) hari ini melancarkan Rayuan Kecemasan Nepal bagi mengumpul dana untuk membantu mangsa banjir kilat dahsyat yang melanda daerah Rasuwa, Nuwakot dan beberapa daerah lain di Nepal pada 26 Ogos 2026.
Bencana yang berlaku di sepanjang Sungai Trishuli dan Bhotekoshi itu telah menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan mengorbankan lebih 900 orang, manakala lebih 4,200 orang masih hilang ketika operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan.
Dianggarkan 93,000 orang turut terjejas dan kini memerlukan bantuan kemanusiaan segera, termasuk makanan, tempat perlindungan, air bersih, kemudahan sanitasi dan rawatan kesihatan.
Banjir yang berlaku secara tiba-tiba itu turut menghanyutkan rumah, jambatan, jalan raya, kemudahan tenaga hidroelektrik dan infrastruktur komersial.
Penduduk kampung menggambarkan bagaimana kelajuan air setinggi kira-kira 30 meter menghanyutkan manusia, rumah dan pasar dalam beberapa saat, malah arus banjir yang kuat turut merosakkan kampung-kampung di kawasan pergunungan yang jauh melepasi paras sungai biasa.
Kerja-kerja mencari dan menyelamat kini berdepan pelbagai cabaran apabila banyak jalan raya dan jambatan mengalami kerosakan, rangkaian komunikasi terganggu serta laluan dihalang oleh timbunan runtuhan. Beberapa kawasan, khususnya di daerah Rasuwa, masih sukar untuk diakses.
Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood, berkata, bencana tersebut telah meninggalkan kesan kemanusiaan yang amat besar dan penduduk terjejas kini amat memerlukan bantuan segera.
“Banjir dahsyat ini telah meragut banyak nyawa dan menyebabkan ribuan keluarga kehilangan rumah, sumber pendapatan serta segala harta benda yang mereka miliki.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Dalam sekelip mata, kehidupan mereka berubah dan berdepan situasi yang tidak menentu serta trauma.
“Mereka kini sangat memerlukan bantuan makanan, air bersih, tempat tinggal dan barangan keperluan lain selain sokongan emosi.
“Melihat kepada skala kemusnahan, Islamic Relief Malaysia melancarkan Rayuan Kecemasan Nepal bagi membolehkan rakyat Malaysia bersama-sama menghulurkan bantuan kepada penduduk terjejas,” katanya.
Di Nepal, pasukan Islamic Relief telah tiba di kawasan terjejas sejak beberapa hari lalu dan sedang menyelaras tindak balas kecemasan bersama pihak berkuasa tempatan serta rakan-rakan kemanusiaan.
Penyelaras Program Islamic Relief Nepal, Iccharam Thapa Magar, yang berada di beberapa kampung di daerah Nuwakot menggambarkan keadaan kemusnahan yang berlaku sebagai sukar dibayangkan.
“Saya melihat seluruh komuniti telah dihanyutkan banjir. Terdapat banyak mayat yang masih tertimbus di bawah runtuhan dan bau yang terhasil amat menyayat hati.
“Sebahagian kanak-kanak masih terkandas di seberang sungai kerana mereka telah menyeberangi jambatan untuk pergi ke sekolah, tetapi tidak dapat pulang apabila jambatan tersebut dihanyutkan banjir. Mereka kini bersendirian dan terpisah daripada keluarga.
“Ramai penduduk masih hilang dan ahli keluarga mereka sedang mencari apa jua maklumat tentang orang tersayang. Penduduk juga mengalami trauma akibat dahsyatnya bencana yang berlaku,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa ramai penduduk di kawasan terjejas bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber pendapatan. Namun, tanaman dan ternakan mereka telah dihanyutkan banjir, manakala sekolah dan kemudahan penting turut mengalami kerosakan.
Islamic Relief bekerjasama rapat bersama Pihak Berkuasa Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal (NDRRMA), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) serta pihak berkuasa dan organisasi kemanusiaan berkaitan bagi menjalankan operasi bantuan.
Kini, Islamic Relief Nepal sedang menggerakkan bantuan sebanyak 1,000 kit perlindungan kecemasan bagi membantu keluarga yang terpaksa berpindah akibat banjir.
Setiap kit mengandungi barangan seperti kanvas kalis air, selimut, bantal berserta sarung, tilam getah dan lampu solar untuk membantu memenuhi keperluan perlindungan dan keperluan asas mereka.
Menurut Pengarah Islamic Relief di Nepal, Golam Motasim Billah, keutamaan segera ketika ini adalah memastikan penduduk terjejas mendapat bantuan asas untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan yang amat mencabar.
“Orang ramai amat memerlukan bantuan segera seperti tempat perlindungan, makanan sedia dimakan, bekalan air minuman yang selamat dan kit kebersihan bagi mencegah penularan penyakit.
“Komuniti yang terjejas memerlukan sokongan jangka panjang untuk pulih dan membina semula kehidupan mereka,” katanya.
Islamic Relief akan terus memantau perkembangan di lapangan dan menyesuaikan tindak balas berdasarkan penilaian keperluan semasa, jurang bantuan serta tahap kemusnahan yang dialami oleh komuniti terjejas.
Orang ramai yang ingin menyokong Rayuan Kecemasan Nepal boleh menyalurkan sumbangan melalui laman web www.islamic-relief.org.my atau hubungi 03-8926 3434 untuk info lanjut.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
