BATU PAHAT – Seorang lagi mangsa kemalangan melibatkan kereta BMW dengan lori di Kilometer 123.6 Lebuh raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan meninggal dunia.
Mangsa, seorang wanita warga Vitenam yang juga penumpang BMW meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), menjadikan semua mangsa dalam kenderaan itu maut.
Terdahulu, tiga daripada mereka termasuk pemandu kereta warga tempatan serta dua wanita warga Vietnam meninggal dunia di lokasi sejurus kemalangan berlaku sekitar jam 8.15 malam.
Namun, setakat ini, identiti semua mangsa yang maut belum diperolehi.
Difahamkan, polis akan mengeluarkan kenyataan berhubung kemalangan itu dalam masa terdekat, lapor Berita Harian.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat, memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.23 malam.
Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat itu.
“Bomba tiba di lokasi pada jam 8.40 malam bersama sebuah jentera sebelum memulakan operasi menyelamat mangsa.
“Terdapat empat mangsa tersepit dalam kereta itu, tetapi tiga daripadanya meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Katanya lagi, pasukan keluaran operasi (PKO) menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa tersepit dan operasi ditamatkan pada jam 9.59 malam. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252