Tajuk Utama
    Enam Ahli Parlimen, dua ADUN Bersatu diberi notis dalam masa terdekat

    Enam Ahli Parlimen, dua ADUN Bersatu diberi notis dalam masa terdekat

    KUALA LUMPUR – Enam Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Bersatu akan menerima notis dalam masa terdekat.

    Notis itu berkaitan dengan status keahlian dan kedudukan mereka sebagai wakil rakyat Bersatu yang mengikut perlembagaan parti telah gugur berikutan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Perkara itu dinyatakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut berkata, selepas ini pihaknya akan menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor dan Kelantan berhubung kedudukan mereka.

    “Ada proses, perlu berhati-hati, perlu lengkap dengan laporan sebab kita tak nak gopoh, sebab itu ambil masa nak susun betul-betul, kita tak nak atas alasan teknikal, tindakan ini dikatakan tak berperaturan.

    “Kita yakin (dengan) langkah (yang) diambil kerana banyak pihak kata betul, ikut Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti dan selaras itu, ROS (Pendaftar Pertubuhan) setuju dan kita beritahu Ahli Parlimen, ADUN Bersatu mereka kena patuh dan tandatangan, tetapi ada yang tidak setuju… dan untuk menentukan adanya pilihan raya (kecil) kena bawa kepada Speaker,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) di ibu pejabat gabungan politik itu, di sini, malam tadi.

    Sebelum ini, enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan Majlis Pimpinan Tertinggi untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

    Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) yang juga ADUN Nenggiri, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

    Seorang lagi ialah ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

    Muhyiddin, yang juga Pengerusi PN, turut mengesahkan Pas akan mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang dan dijangka mengumumkan calonnya pada 15 Jun ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 2 Julai.

    PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya iaitu Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

    Pada Pilihan Raya Negeri lepas, Yang Dipertua Pas Nibong Tebal itu menewaskan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi. – ND

     

    Telegram: https://t.me/nasionaldaily

    TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

    Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *