BERITA UTAMA
Pedri buka akaun jaringan bersama Sepanyol

Pedri buka akaun jaringan bersama Sepanyol

PALMA DE MALLORCA, Sepanyol – Sepanyol menewaskan Ireland Utara 5-1 dalam aksi persahabatan dengan Pedri meledak dua kali menjelang Kejuaraan Eropah yang bermula minggu depan di Jerman.

Pelawat membuat kejutan dengan mendahului permainan seawal minit kedua apabila Daniel Ballard menanduk masuk bola sepakan percuma Caolan Boyd-Munce.

Sepanyol yang menguasai permainan kembali menyamakan kedudukan menerusi rembatan minit ke-12 Pedri, gol antarabangsa pertamanya, sebelum Alvaro Morata, Fabian Ruiz dan Pedri meletakkan tuan rumah 4-1 di depan menjelang rehat.

Mikel Oyarzabal melengkapkan kemenangan buat juara Eropah tiga kali itu pada minit ke-60, hasil hantaran Lamine Yamal.

“Saya sangat gembira dengan perlawanan ini, di atas reaksi pasukan. Saya juga sangat gembira dapat menjaringkan gol sulung, saya amat menantikan saat ini.

“Saya bekerja keras sepanjang musim, ada beberapa halangan namun saya berusaha untuk sampai ke sini.

“Dengan gol itu, jelas kecederaan tidak lagi membelenggu saya. Daripada segi fizikal, saya rasa sangat baik sekali dan tidak sabar menghadapi Euro,” kata Pedri.

Pemain 21 tahun Barcelona itu bergelut dengan kecederaan musim lalu.

Pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente melakukan sembilan pertukaran ke atas skuad yang membelasah Andorra 5-0, dengan Pedri dan penyerang, Morata kekal dalam kesebelasan utama.

Morata, yang menanduk masuk gol di minit ke-18 untuk gol antarabangsa ke-35nya, kini berkongsi tangga keempat dengan David Silva dalam senarai penjaring terbanyak Sepanyol.

Sepanyol menjaringkan empat gol di babak pertama buat julung kalinya sejak tahun 2023 – ketika meledak jumlah sama ke atas Georgia dalam aksi kelayakan Euro 2024.

Sepanyol memulakan kempen Euro menentang Croatia pada Sabtu sebelum berdepan Itali dan Albania dalam Kumpulan B. – REUTERS

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *