BERITA UTAMA
2 wanita maut kemalangan babitkan lima kenderaan

2 wanita maut kemalangan babitkan lima kenderaan

JASIN – Dua wanita maut selepas kereta dinaiki dirempuh lori dalam nahas lima kenderaan di Jalan Jasin- Merlimau, semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, berkata dalam kemalangan pada jam 11.50 pagi itu membabitkan dua lori dan tiga kereta.

Beliau berkata, semua kenderaan terbabit berada di laluan sama dari arah Jasin menghala ke Merlimau dengan jalan menuruni bukit dan sedikit berselekoh.

Katanya, lori dipandu lelaki berusia 44 tahun kemudian cuba memotong kereta Perodua Viva dan Alza, namun gagal dan cuba memasuki lorong asal.

“Ketika bergerak masuk, pemandu lori dikatakan gagal mengawal kenderaan, lalu bergesel dengan dua kenderaan terbabit serta melanggar Perodua Myvi yang sedang berhenti.

“Lori berkenaan kemudiannya melanggar pula sebuah lagi lori yang turut berhenti di situ,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ahmad Jamil berkata, siasatan juga mendapati sebelum kejadian, terdapat empat kenderaan sedang berhenti kerana ada kerja pembaikan jalan.

Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan pemandu Perodua Myvi, Masitah Mohamed, 27, dan penumpang Nurul Syakirin Ahmad Mokhtar, 24, tersepit dalam kereta serta meninggal dunia.

Katanya, mereka yang bekerja sebagai kerani kilang dan ahli farmasi berasal dari Tangkak, Johor dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba.

Menurutnya, kanak-kanak berusia 10 tahun yang juga penumpang Perodua Alza, dirawat di Hospital Jasin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *