UMNO Kelantan digesa lahirkan lebih ramai pemimpin muda

UMNO Kelantan perlu lahir lebih ramai pemimpin muda – Johari

KOTA BHARU – UMNO Kelantan digesa melahirkan lebih ramai pemimpin muda bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) pada 2027.

Naib Presidennya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini berikutan Barisan Nasional (BN) di Kelantan tidak memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) dalam tempoh lapan penggal atau selama 35 tahun.

Beliau yang juga Bendahari BN berkata, ia adalah satu jangka masa yang panjang.

“Harap BN akan menang pada PRU akan datang dan harapan saya nak pemimpin UMNO (sedia ada) di Kelantan untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda.

“Mereka boleh dipimpin dan dibentuk untuk berjaya. Kita nak lahirkan pemimpin yang berkaliber kerana kita ada masa.

“Kita kena ubah dan buat kerja dari masa sekarang supaya pemimpin yang dilahirkan membawa aspirasi untuk politik akan datang. Bila awal-awal ini kita ada masa untuk buat kerja,” katanya dipetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen BN Negeri Kelantan 2024 di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pemimpin muda kini berminat terbabit dalam politik.

“Saya yakin UMNO pada 2027 akan jadi lebih baik sekiranya kita dapat melahirkan lebih ramai pemimpin muda.

“Walaupun kita tak jadi kerajaan (Kelantan), namun kita kena buat kerja kerana rakyat akan menilai,” katanya. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *