BERITA UTAMA
BN jangan pinggir rakan bukan Melayu dalam parti komponen

BN jangan pinggir rakan bukan Melayu dalam parti komponen

KOTA BHARU – Barisan Nasional (BN) disaran supaya tidak meminggirkan rakan bukan Melayu dalam parti komponen.

Bendahari BN merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata dengan tidak meminggirkan rakan kerjasama akan menjadikan BN berjaya, lapor Berita Harian.

“Saya cukup yakin kita (BN) akan berjaya. Justeru, saya nak menasihati kita dalam BN ini tidak boleh meminggirkan rakan-rakan bukan Melayu dalam BN.

“Saya terpanggil dan melihat mereka ini masih setia dalam BN dan mereka masih mempertahankan kesetiaan dan kerjasama dengan BN,” katanya berucap ketika merasmikan Konvensyen BN Negeri Kelantan 2024, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yakub.

Johari berkata, BN dan parti komponen perlu bersatu dan yang paling penting mereka setia dengan BN sampai bila-bila.

Pada perkembangan yang sama, beliau berkata, UMNO bersyukur kerana menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan dan turut diberi jawatan tujuh menteri.

“Kita (UMNO) kena ada kesedaran dan bersyukur sebab ada dalam Kerajaan Perpaduan. Kerajaan juga sanggup menerima kita dan sanggup beri jawatan menteri sebanyak tujuh jawatan.

“Kalau dulu kita cari parti komponen dan sekarang UMNO jadi salah satu daripada parti komponen… kita kena kerjasama dan pastikan bahawa pada pilihan raya akan datang kita boleh menang.

“Sebab itu saya beritahu kerajaan Malaysia ini adalah kerajaan kacuk dan tidak boleh mengasingkan orang Melayu dengan bukan Melayu. Kalau negara nak maju kita tidak boleh tinggalkan pelbagai kaum,” katanya. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *