BERITA UTAMA
Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan wajar dinaik taraf bahasa berekonomi – Tok Him

Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan wajar dinaik taraf bahasa berekonomi – Tok Him

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mencadangkan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dinaikkan nilai sebagai bahasa berekonomi.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, bahasa itu wajib 100 peratus dilaksanakan dalam semua urusan kerajaan, selain bahasa pertuturan orang Melayu dan lain-lain kaum yang bertutur dalam bahasa ibunda mereka.

Kata beliau, bagi bidang pekerjaan pula, kebanyakan kebolehan serta kelulusan bahasa Melayu hanya berlaku dalam sektor kerajaan sahaja, manakala sektor swasta langsung tidak diambil peduli, seolah tidak penting.

“Syarikat swasta milik bukan Melayu lebih mengutamakan bahasa mereka dan bahasa Inggeris.

“Begitu dalam hal pertuturan harian, kita lihat golongan elitis termasuk berpendidikan sering menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasi dan teks mereka.

“Mereka lebih mementingkan status dengan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris sebagai lambang global,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Dr. Ibrahim, ini berbeza sama sekali dengan rakyat Jepun, China, Perancis dan lain-lain yang tetap maju walaupun mempertahankan penggunaan bahasa ibunda masing-masing.

Katanya, pemimpin mereka juga apabila menghadiri persidangan antarabangsa, tetap berucap dalam bahasa ibunda.

“Begitu bermaruahnya mereka dan betapa tingginya nilai nasionalisma mereka.

“Di Malaysia, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia hanya untuk mereka yang kurang berpendidikan atau golongan B40 sahaja,” katanya.

Beliau berkata, kalau kerajaan benar-benar mahukan memartabatkan pendidikan dan bahasa Malaysia, ada dua perkara perlu dilakukan.

Pertama, gubal dasar atau akta berkaitan, dengan semua pemimpin dalam kerajaan, politik mahupun penjawat awam wajib bertutur dan berucap bahasa Melayu dalam apa keadaan dan masa sekalipun.

Kedua, semua urusan kontrak dan undang-undang wajib menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

Secara umumnya, kata Dr. Ibrahim lagi, mesti ada undang-undang yang memperkukuhkan nilai ekonomi untuk bahasa dan pemimpin serta kerajaan pula wajib memulakan sebagai contoh dan teladan.

“Semua papan tanda di gedung, premis, menara dan taman perumahan wajib mengunakan bahasa kebangsaan. Undang-undang wajib diwujudkan dan tegas pelaksanaannya,” kata beliau. – NasionalDaily

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *