KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid menunggu arahan rasmi daripada produksi program Salam Baitullah selepas difahamkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) membuat keputusan merehatkannya daripada bersiaran.
Pengurus dikenali Ana berkata, bagaimanapun Ustaz Don, 40, belum lagi dimaklumkan keputusan dia direhatkan itu, sebagaimana dibuat dalam hantaran di laman sosial X oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman.
“Setakat ini, kami masih belum dapat apa-apa arahan. Kami akan tunggu dulu dan kalau perlu kami keluarkan kenyataan secara rasmi.
“Pihak kami pun tak mahu melebihi RTM. Jadi, tunggu dulu jawapan pihak mereka,” katanya dipetik Berita Harian berhubung kaitan situasi Ustaz Don yang direhatkan daripada mengemudi Salam Baitullah.
Terdahulu, Ustaz Don dilapor direhatkan daripada bersiaran di RTM susulan isu pertikaian dalam media sosial berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW hingga mengundang kritikan pelbagai pihak.
Difahamkan, Don Daniyal berbuat demikian ketika bersiaran di sebuah stesen radio.
Meskipun mendapat teguran beberapa tokoh agamawan, pendakwah terbabit bertegas dengan dakwaannya dan tidak membuat sebarang pembetulan.
Semalam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mengeluarkan kenyataan menjelaskan mengenai isu terbabit.
Program Salam Baitullah di RTM pula bersiaran pada musim haji bermula 2 Jun sehingga 17 Jun ini. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252