BERITA UTAMA
Sarawak mahu jadi pemain terkemuka dunia dalam ekonomi baharu

Sarawak mahu jadi pemain terkemuka dunia dalam ekonomi baharu

BETONG – Penekanan kepada pembangunan tenaga hijau yang giat dilaksanakan di Sarawak ialah langkah yang bertujuan menjadikan negeri ini sebagai pemain terkemuka dunia dalam ekonomi baharu, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata pelaksanaan perancangan mengeluarkan bahan tenaga baharu selain pembangunan infrastruktur baharu dan pengambilalihan infrastruktur sedia ada akan mendekatkan lagi Sarawak kepada hasrat untuk muncul sebagai hab pembangunan ekonomi ASEAN.

“Kita akan menjadi pemain terkemuka di dunia, bukan sahaja di Malaysia, bukan sahaja di ASEAN tetapi di dunia dalam ekonomi baharu,” katanya ketika berucap di Majlis Ngabang (Kunjungan) Gawai di sini pada Rabu.

Menurut beliau, susulan pengambilalihan Pelabuhan Bintulu daripada kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak akan membangunkan pelabuhan baharu yang kelengkapannya setaraf bagi menampung perkembangan ekonomi pada masa depan.

“Kita akan membangunkan apa yang disebut sebagai Energy Hub di Samalaju dan Kidurong (kedua-duanya di Bintulu) dan kita juga akan membangunkan (rangkaian) Paip Trans Borneo untuk menghantar (bekalan) gas ke seluruh Sarawak,” katanya.

Abang Johari berkata perancangan ini bakal mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang menawarkan gaji tinggi kepada rakyat Sarawak yang berkelayakan dan berbakat.

Beliau berkata rakyat di Bahagian Betong turut akan memperoleh nikmat daripada perancangan pembangunan ini, khususnya dalam menyediakan generasi muda dari segi pendidikan tinggi berkualiti antarabangsa dan pembangunan bakat.

Sebuah bangunan baharu akan dibina untuk Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centre of Technical Excellence Sarawak – CENTEXS) Betong yang kini beroperasi di bangunan yang disewa.

Beliau juga akan mengadakan perbincangan bagi mengenal pasti tapak yang sesuai untuk menubuhkan sebuah sekolah antarabangsa di Betong yang menggunakan silibus Cambridge.

Sekolah ini dijangka menampung keperluan pendidikan pelajar yang layak dari Betong, Sri Aman dan Sarikei.

“Kita akan mulakan projek perumahan dan juga komersial dalam kawasan di persimpangan Jalan Sri Aman-Betong yang akan melibatkan kira-kira 1,000 lot rumah yang bakal disiapkan secara berfasa,” tambah beliau. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *