BERITA UTAMA
'Jika ada rakyat Malaysia tak boleh berbahasa Melayu, itu satu 'dosa'...' - Prof Madya Dr Ramalinggam

‘Jika ada rakyat Malaysia tak boleh berbahasa Melayu, itu satu ‘dosa’…’ – Prof Madya Dr Ramalinggam

KUALA LUMPUR – Tidak salah untuk menguasai bahasa asing, tetapi rakyat Malaysia seharusnya fasih bahasa kebangsaan.

Itu penegasan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Madya Dr R Ramalinggam yang menjelaskan, bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan menjadi lambang jati diri.

“Kalau ada rakyat negara ini tidak boleh berbahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu, bagi saya itu satu dosa. Program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP) tidak sepatutnya menjadi sebab ramai tidak menguasai bahasa kebangsaan.

“Ini kerana bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan, menjadi lambang jati diri dan bangsa,” katanya yang juga Pensyarah Pusat Kajian Undang-Undang Malaysia dan Perbandingan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika tampil dalam program Suara dari Anjung Dewan Bahasa: Bahasa Melayu dan Kewarganegaraan di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.

Soalan bahasa Melayu dalam temuduga mohon kewarganegaraan

Seorang lagi ahli panel, Prof Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz pula mencadangkan mereka yang memohon kewarganegaraan Malaysia perlu diuji soalan lebih sukar dalam ujian penguasaan bahasa Melayu, termasuk elemen yang menguji pengetahuan berkaitan nahu, istilah tertentu serta lain-lain.

Pakar perundangan dan perlembagaan itu menyifatkan tahap soalan ujian penguasaan bahasa Melayu ketika ini terlalu rendah dan membuatkan calon lulus mudah.

“Skop soalan mudah itu tidak pernah dipinda sejak Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Persekutuan 1957 yang ketika itu bertujuan memudahkan calon, terutama warga emas lulus ujian menjadi warganegara.

“Bagi saya, berdasarkan keadaan semasa, tahap kesukaran ujian itu perlu dipertingkatkan kerana pengetahuan calon dalam bahasa kebangsaan penting. Ia kerana kewarganegaraan hanya boleh dipohon melalui dua kaedah, iaitu secara pendaftaran atau secara naturalisasi.

“Secara pendaftaran, misalnya dengan perkahwinan dan secara naturalisasi, apabila seseorang berusia 21 tahun boleh membuat permohonan menjadi warganegara Malaysia,” katanya.

Shamrahayu berkata, seseorang tidak fasih atau tidak berupaya berkomunikasi dalam bahasa Melayu tidak boleh dilucutkan kewarganegaraan, sekali gus peraturan berkaitan bahasa perlu dipinda dalam proses permohonan menjadi warga negara Malaysia untuk menyesuaikannya dengan keadaan semasa.

“Mengikut Perlembagaan, permohonan kewarganegaraan boleh dibuat melalui pendaftaran dan secara naturalisasi. Dalam kedua-dua kategori ini, pemohon memerlukan satu pengisytiharan bahawa mereka akan taat setia kepada (undang-undang) Malaysia dan ada kelayakan boleh berbahasa Malaysia.

“Ia tidak mengatakan bahasa Melayu sebagai syarat atau perlu fasih (bahasa Melayu), cuma menyatakan seseorang itu boleh berbahasa, boleh mengamalkan adat resam masyarakat negara ini,” katanya turut menjelaskan, syarat naturalisasi memerlukan pemohon bermastautin di Malaysia tidak kurang 10 tahun.

“Jadi sekiranya seseorang itu tidak fasih atau tidak boleh berbahasa Melayu, tidak menjadi satu sebab untuk melucutkan kewarganegaraannya,” katanya. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *