BERITA UTAMA
Aidiladha: Larangan penutupan lorong bagi kerja selenggara bermula 12 hingga 19 Jun

Aidiladha: Larangan penutupan lorong bagi kerja selenggara bermula 12 hingga 19 Jun

PUTRAJAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengeluarkan arahan larangan penutupan lorong bagi kerja selenggara bermula 12 hingga 19 Jun ini sempena cuti Aidiladha.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, hanya kerja kecemasan sahaja dibenarkan dilaksanakan sepanjang tempoh berkenaan.

“KKR mempunyai perancangan jangka panjang dan pendek bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya tiap kali tiba musim perayaan atau cuti sekolah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek jalan susur bertingkat sepanjang 300 meter dari Jalan P15H ke Persiaran Timur di sini, hari ini.

Penyerahan itu disempurnakan oleh Nanta dan diterima Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.

Menurut Nanta, selain arahan larangan penutupan lorong, pihak konsesi turut mengaktifkan pelaksanaan smartlane (kebenaran penggunaan bahu jalan) di lokasi yang telah dikenal pasti bagi memastikan aliran trafik lebih lancar.

“Advokasi kepada pengguna mengenai smartlane dan keberkesanan tindakan penambahbaikan yang dilaksanakan akan dipantau oleh LLM,” katanya.

Mengenai jalan susur bertingkat yang mula dibuka kepada orang ramai hari ini, Nanta berkata, projek meliputi pembinaan sistem perparitan, pemuliharaan alam sekitar dan naik taraf lampu isyarat di persimpangan P15H itu dimulakan pada 29 Disember 2020 sebelum terjejas akibat pandemik Covid-19 dan berjaya disiapkan 15 Mei lalu.

“Pembinaan projek berkenaan hasil kajian dan penelitian bagi menyediakan laluan alternatif bagi penduduk Presint 15 yang berjumlah hampir 35,000 orang untuk ke pejabat kerajaan di Putrajaya, selain bertujuan mengurangkan kesesakan trafik di laluan utama Presint 15 (bulatan lima persimpangan) pada waktu puncak.

“Antara cabaran utama dihadapi sewaktu menyiapkan projek adalah penularan Covid-19 dan lokasi tapak projek kerana terletak di sepanjang jajaran koridor utiliti utama di Persiaran Timur, Putrajaya yang secara tidak langsung memberi kesan kepada tempoh penyiapan projek,” katanya sambil menambah projek berkenaan menelan belanja RM12.63 juta. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *